Selangor paling banyak lombong haram 'bitcoin'


  • 112
  • Selasa, 01 Mac 2022

SEORANG pekerja TNB memeriksa sebuah premis yang dijadikan tempat melombong 'bitcoin'. — The Star

SINDIKET melombong bitcoin yang mencuri bekalan elektrik dari 2018 hingga 2021 mengakibatkan kerajaan menanggung kerugian mencecah RM2.3 bilion, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Beliau berkata, jumlah kerugian yang besar itu melibatkan 7,209 kes sindiket terbabit di seluruh negara.

Azam berkata sindiket itu paling banyak dikesan di Selangor (2,311); diikuti Perak (1,349); Kuala Lumpur (732); Johor (723); Negeri Sembilan (599); Kedah (481); Pulau Pinang (344); Melaka (314); Pahang (288); Kelantan (37); Perlis (19) dan Terengganu (12).

Menurutnya, SPRM menahan 18 lelaki warga tempatan termasuk dalang berusia antara 30-an hingga 60-an di seluruh negara dalam operasi itu pada Isnin.

"Seorang daripada suspek menguasai 500 premis di Semenanjung Malaysia dan kami turut merampas wang tunai RM2.3 juta melibatkan 998 premis,” katanya pada sidang media khas Op Power di ibu pejabat SPRM, di Putrajaya pada Selasa.

Beliau berkata, susulan itu, SPRM menyita wang tunai RM281,180 dan membekukan akaun bank RM4.4 juta iaitu melibatkan 97 individu, 29 syarikat dan 126 akaun bank, selain menyita 1,157 mesin bitcoin dengan nilai RM2.3 juta iaitu anggaran sebuah mesin bernilai RM2,000 dan menyita e-dompet RM82,000.

Turut disita mata wang kripto RM108,545.38 (US$25,893.46) manakala lima kereta dirampas iaitu BMW, Honda Accord, Toyota Vellfire, Ford Ranger dan Audi serta pelbagai barangan kemas.

"Hasil risikan SPRM mengesahkan kejadian ini berlaku hampir di seluruh negara dan SPRM mengesan sebanyak 998 premis disewakan bagi kegiatan sedemikian,” katanya.

Beliau berkata, modus operandi yang digunakan sindiket itu adalah pengusaha-pengusaha bitcoin akan berunding dengan pegawai TNB semasa operasi penguatkuasaan dijalankan.

Pihak TNB mengesahkan terdapat penawaran wang rasuah antara RM3,000 ke RM300,000 supaya tidak diambil sebarang tindakan penguatkuasaan dan membocorkan maklumat operasi.

Azam berkata, pembayaran rasuah akan dilakukan dengan dua cara iaitu bayaran secara tunai dan menggunakan mata wang kripto iaitu bayaran secara bulanan.

Beliau berkata, kegiatan itu boleh menyebabkan kerugian kepada kerajaan khususnya Tenaga Nasional Berhad (TNB), selain turut menjejaskan bekalan atau arus elektrik kepada operasi kemudahan kritikal seperti klinik, hospital dan pusat rawatan dialisis.

Selain itu, Azam berkata, sindiket terbabit menyebabkan berlakunya kerosakan perkakas elektrik dan kebakaran premis ekoran kegiatan perlombongn bitcoin dan pemilik premis akan teraniaya kerana menanggung segala tuntutan dan tindakan yang akan dikenakan TNB.

"Sindiket berkenaan menggunakan mesin-mesin melombong bitcoin yang terkini dan dibeli dari China yang dibawa masuk melalui Pelabuhan Klang dan mengisytiharkannya sebagai peralatan teknologi maklumat,” katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

SPRM, bitcoin, Azam baki, kerugian, sindiket, tnb