Pengusaha bitcoin terlibat rasuah bernilai billion ringgit dalam radar SPRM


  • 112
  • Isnin, 28 Feb 2022

MALAYSIA kerugian berbilion ringgit ekoran aktiviti perlombongan bitcoin secara haram.

BEBERAPA pengusaha bitcoin yang dipercayai menjalankan operasi menggunakan sumber tenaga curi kini dalam pemerhatian Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) kerana didakwa terlibat dengan aktiviti rasuah melibatkan berbillion ringgit.

"SPRM telah mengenalpasti beberapa orang pengusaha dan mereka dijangka mengambil tindakan pada bila-bila masa," dedah sumber yang rapat dengan pihak berkuasa kepada Majoriti.

Terdahulu, Majoriti mendedahkan mengenai kewujudan pengusaha perlombongan bitcoin yang didakwa menjalankan operasi menggunakan sumber tenaga haram.

Majoriti difahamkan, bahawa pengusaha-pengusaha ini yang mempunyai premis di hampir setiap negeri di Malaysia, sanggup membayar sehingga suku juta ringgit untuk mengelak daripada diambil tindakan oleh pihak berkuasa.

Sumber itu juga mendakwa selain wang tunai, sindiket terbabit turut menawarkan bitcoin sebagai imbuhan kepada anggota penguatkuasa yang sanggup tutup mata terhadap tindakan mereka menggunakan sumber tenaga elektrik secara haram.

Sumber juga mendakwa bahawa pihak berkuasa telah memulakan siasatan berkaitan isu ini sejak beberapa tahun lepas berikutan peningkatan mendadak kerugian yang terpaksa ditanggung negara akibat kecurian elektrik yang dilakukan oleh pelombong bitcoin.

Mereka bagaimanapun berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk keadaan premis melombong bitcoin tersebut yang dikatakan ditutup rapat seperti sebuah bunker.

"Perlombongan Bitcoin" ialah proses cuba menyelesaikan masalah matematik yang kompleks untuk membuka "kunci" untuk menjana bitcoin baharu.

Pasaran bitcoin ini sangat tidak menentu dan nilainya terus berubah-ubah tetapi harga semasa satu bitcoin kini mencecah lebih RM160,000.

Selain kerugian pada negara, aktiviti perlombongan bitcoin juga memberi kesan kepada orang ramai, terutamanya masyarakat tempatan dan premis kritikal seperti hospital yang berkongsi sumber bekalan tenaga yang sama.

Ini termasuk gangguan bekalan elektrik, kerosakan pada peralatan elektrik mereka dan lebih teruk lagi - potensi kebakaran kerana premis ini sering menggunakan fius dan beban substandard yang melebihi kapasiti kabel.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan sebelum ini berkata, negara kehilangan lebih RM2.3 bilion dalam aktiviti perlombongan bitcoin - peningkatan sebanyak 400 peratus sejak empat tahun lalu.

Kerugian ini melibatkan sebanyak 7,209 kes iaitu 610 kes pada 2018, diikuti 1,043 kes (2019), 2,465 kes (2020) dan 3,091 kes pada 2021.

Majoriti difahamkan, siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 16 (b) dan seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009 yang menetapkan memberi atau menawarkan rasuah adalah sama dengan kesalahan menerima rasuah.

Jika sabit kesalahan, orang itu boleh dihukum sebanyak kesalahan Seksyen 17 (a) iaitu menerima rasuah dengan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan jika suapan itu boleh bernilai atau RM10., 000, yang mana lebih tinggi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram