PENGARAH Media dan Komunikasi Strategik di Pejabat Perdana Menteri (PMO), Rozaid Abdul Rahman dilaporkan meninggal dunia di kediaman keluarganya di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor pada petang Ahad.
Pemergian Rozaid yang sebelum ini bertugas sebagai Pengarang Perundingan Star Media Group (SMG) itu disahkan oleh Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Tunku Nashrul Tunku Abaidah.
Sebelum ini, Rozaid menerima rawatan di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, Selangor akibat mengalami masalah jantung serta pernah dilawat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim awal Julai lalu.
Rozaid berpengalaman luas dalam bidang kewartawanan selama 40 tahun selepas memulakan kerjaya sebagai pemberita kadet di Utusan Malaysia pada April 1984, selain pernah bertindak sebagai Ketua Pengarang Sinar Harian serta Penerbit Eksekutif mStar.
Selain itu, beliau juga pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Akhbar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang ketika itu Menteri Pengajian Tinggi.
Dalam pada itu, Bahagian Media dan Komunikasi Strategik PMO dalam kenyataan pada Ahad malam mengesahkan Allahyarham meninggal dunia kerana masalah jantung di kediamannya di Putra Heights, Subang Jaya.
"Allahyarham yang berusia 58 tahun sebelum ini telah menerima rawatan di Hospital Serdang sejak 1 Julai lalu dan telah dibenarkan keluar dari hospital pada 6 Ogos lalu.
"Pejabat Perdana Menteri mendoakan agar keluarganya diberi kekuatan dan ketabahan, dan diampunkan segala dosa Almarhum serta diberi tempat istimewa di sisi-Nya," kata kenyataan itu.
Allahyarham dilantik menjawat tugasan tersebut pada 23 Mei 2023. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram