'Ini satu cabaran untuk saya,' Pengarang Perundingan Kumpulan Media Star dilantik Pengarah Media dan Komunikasi Strategik PMO


  • Massa
  • Selasa, 23 Mei 2023

Rozaid ketika melapor diri di pejabatnya Perdana Putra pada Selasa.

PENGARANG Perundingan Kumpulan Media Star, Rozaid Rahman menerima pelantikannya sebagai Pengarah Media dan Komunikasi Strategik di Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang berkuatkuasa pada Selasa sebagai cabaran baharu sepanjang kerjayanya dalam bidang kewartawanan lebih 40 tahun.

Beliau ketika ditemui Majoriti di Menara Star, Petaling Jaya, Selangor turut sedia maklum dengan tanggungjawab yang perlu digalas bagi memastikan rakyat Malaysia faham berkenaan visi dan misi yang disampaikan oleh kerajaan kepada rakyat.

"Sebagai wartawan yang telah bekecimpung dalam bidang ini selama lebih 40 tahun, saya menganggap pelantikan ini sebagai satu penghormatan kepada institusi kewartawanan.

"Ia satu cabaran yang sangat besar, saya sedia maklum yang kedudukan ini memerlukan tanggungjawab dan juga pemerhatian setiap hari, saya tahu tidak ada cuti rehat untuk saya sebab cabaran yang sedang menanti di hadapan untuk memahamkan rakyat jelata tentang misi dan visi kerajaan Perdana Menteri," katanya kepada Majoriti pada Selasa.

photo1684824808

Rozaid ketika ditemui Majoriti ketika Majlis Rumah Terbuka anjuran Majoriti, Majoriti 7 dan Mstar di Menara Star, Petaling Jaya, Selangor pada Selasa.

Pelantikan Rozaid menggantikan kekosongan yang ditinggalkan Datuk Wan Nurzila Wan Abd Rahman pada 5 Mei lalu.

Sementara itu, beliau turut berpesan kepada para pengamal media untuk menjalankan tanggungjawab yang baik sebagai pelapor dengan membuat laporan yang terbaik dan seimbang.

Rozaid, 58, memulakan kerjayanya sebagai pemberita kadet di Utusan Malaysia pada April 1984.

Selain itu, beliau juga pernah menjawat jawatan Pegawai Eksekutif Pengisian/Pengarang Eksekutif Kumpulan Media The Star, selain pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Akhbar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang ketika itu Menteri Pengajian Tinggi. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram