PN berlapang dada tewas PRK Nenggiri, BN kembali dapat momentum


  • Politik
  • Sabtu, 17 Ogos 2024

Keputusan rasmi PRK DUN Nenggiri pada Sabtu menyaksikan Mohd Azmawi Fikri memperoleh kemenangan besar dengan majoriti 3,352 undi.

KEPUTUSAN rasmi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada Sabtu menyaksikan calon Barisan Nasional (BN), Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani memperoleh kemenangan besar dengan majoriti 3,352 undi.

Mohd Azmawi memenangi kerusi DUN itu selepas memperoleh 9,091 undi menewaskan calon PAS, Mohd Rizwadi Ismail yang meraih 5,739 undi.

Ketua Pemuda UMNO Kelantan yang digelar 'Budok Awie' itu dilaporkan menang di semua pusat mengundi Orang Asli iaitu Tohoi, Sungai Puian, Sungai Jenera, Simpor dan Sungai Wias.

BACA LAGI: Pemilihan Azmawi beri gambaran Umno keluar daripada bayangan 'warlord' parti di Kelantan

BACA LAGI: PN makin bergolak menjelang PRK DUN Nenggiri?

neggiri

Sebanyak 14 daripada 20 pusat daerah mengundi dimenangi oleh BN setakat ini.

Kemenangan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi PRK Nenggiri, Nik Raisnan Daud di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Perdana, Kompleks Perdana Dewan Majlis Daerah Gua Musang, Kelantan.

PRK kali ini melibatkan seramai 20,259 pengundi yang mendaftar, dengan 86 peratus daripadanya merangkumi Melayu, manakala Orang Asli (14 peratus), Cina (0.2 peratus) dan India (0.1 peratus).

Majoriti besar dimenangi BN membolehkan gabungan parti itu merampas kembali DUN Nenggiri yang sebelum ini dimenangi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu.

Sementara itu, Pengarah Operasi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Annuar Musa merakamkan ucapan tahniah kepada BN susulan kemenangan tersebut.

Beliau berkata, BN berjaya memenangi PRK Nenggiri dengan majoriti selesa, sekali gus menyaksikan gabungan parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin gagal mempertahankan DUN berkenaan.

WhatsApp Image 2024-08-17 at 21.30.35

BN kembali merampas Nenggiri selepas memenangi kerusi DUN itu dengan majoriti 3,352 undi.

“Kita ucapkan tahniah kepada yang menang. Selamat menunaikan tanggungjawab yang telah diamanahkan, rakyat Nenggiri sudah membuat pilihannya.

"Kita harus menghormati keputusan tersebut. Semoga rakyat Nenggiri mendapat pembelaan sewajarnya," katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Sabtu.

PRK DUN Nenggiri menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Mohd Azmawi Fikri mewakili Kerajaan Perpaduan dan Mohd Rizwadi mewakili PN.

Berdasarkan statistik Suruhanjaya Pilihan Raya(SPR), daripada 20,259 pengundi berdaftar, 14 anggota polis telah mengundi secara pos yang menyaksikan tiada pusat mengundi awal dibuka, manakala secara keseluruhan sebanyak 43 kertas undi pos dikeluarkan pada 5 Ogos lepas kepada individu yang berhak.

PRK Nenggiri diadakan selepas penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim dilucut hak sebagai ahli BERSATU selepas melanggar peraturan dengan menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali gus bertentangan dengan prinsip parti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram