SERAMAI 1.9 juta penjawat awam menerima ‘durian runtuh’ menerusi pengumuman yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai pelarasan gaji baharu kumpulan tersebut pada Jumaat.
Manakan tidak, sekiranya dikira secara purata, penjawat awam bakal menerima kenaikan gaji melebihi RM500 selepas berlaku pelarasan gaji baharu tersebut.
Pada masa sama, pengumuman berkenaan sangat dinanti-nantikan kerana kali terakhir kenaikan gaji pada 2013 dengan kadar sekitar 13 peratus.
BACA LAGI: Gaji kumpulan pelaksana naik hingga 42 peratus, pengurusan tertinggi 7 peratus — PM Anwar
BACA LAGI: Ketua Jabatan 'tutup mata' salah laku staf tak boleh naik pangkat
Kali ini, Anwar yang juga Menteri Kewangan memaklumkan kadar kenaikan adalah paling tinggi dan terbesar dalam sejarah negara.
Pelarasan tersebut akan membabitkan peruntukan mencecah lebih RM10 bilion. Menurut Anwar, dengan pelarasan itu nanti, pendapatan minimum penjawat awam merangkumi gaji dan elaun tetap akan melebihi RM2,000 sebulan.
Namun di sebalik kegembiraan penjawat awam itu, ada yang segelintir warga maya yang mempertikaikan kenaikan gaji mereka.
Antara gambar berbaur sindiran yang ditujukan kepada kakitangan awam. — Facebook
Rata-rata laman sosial pada Jumaat, dibanjiri dengan hantaran dan komen berbaur sindiran seperti servis teruk, kakitangan awam dikecualikan daripada membayar cukai dan sebagainya.
Muak dengan sikap segelintir warga maya itu, seorang pengguna X (Twitter) @Injang_Nation tampil menegur mereka.
"Yang swasta balik-balik skrip sama, duit cukai kami memang untuk bayar gaji penjawat awam dan untunglah kaunter enam, tapi buka dua pun dapat naik gaji.
"Bila tanya penjawat awam dapat pengecualian cukai tak? Senyap.
"Bila tanya kaunter mana yang servis teruk itu? Senyap," tulisnya.
Tambah individu tersebut lagi, kebanyakan warga maya yang membuat hantaran jelik itu tidak pernah mempunyai bukti yang berasas ataupun mengalami situasi berhadapan dengan penjawat awam itu.
Katanya, servis teruk dan kaunter yang ditutup itu juga berlaku di mana-mana sahaja sama ada di sektor swasta atau awam.
Pendapatnya itu turut dipersetujui seorang warga maya, @Adeline_nim
"Baik di pejabat kerajaan mahupun di premis perniagaan swasta, ramai pelanggan sering mengadu tentang layanan yang tidak memuaskan, masa menunggu yang lama, serta kaunter yang ditutup pada waktu puncak.
"Semua sama saja, jangan dijadikan modal untuk kutuk penjawat awam. Ini buli siber," tulisnya.
Sementara itu, seorang warga maya @kkkkkkk menasihati orang awam untuk menggunakan saluran yang betul bagi membuat aduan kepada penjawat awam.
"Jangan sekadar perli di laman media sosial, kalau betul mereka (kakitangan kerajaan) salah boleh mengemukakan aduan secara rasmi kepada Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA).
"Aduan boleh buat online, semua di hujung jari," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram