'Ada kutuk, perlekeh', pensyarah ADTEC Pahang buktikan inovasi bantu OKU beri pulangan RM80,000


  • Bizz
  • Rabu, 14 Ogos 2024

Azuan bergambar bersama mesin penghasilan pelitup yang dicipta olehnya bersama warga ADTEC Jerantut. — Facebook/AzuanFailaniAriffin

INOVASI dikutuk, ciptaan diperlekeh.

Itu merupakan antara asam garam terpaksa dilalui oleh Azuan Failani Ariffin dalam usahanya menghasilkan ciptaan baharu yang mampu memberikan manfaat kepada orang ramai.

Bertugas sebagai pensyarah di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Jerantut, Pahang, Azuan sudah melahirkan kira-kira sebanyak 10 hasil produk inovasi sepanjang 13 tahun beliau berkhidmat di institusi berkenaan.

BACA LAGI: 'Ia bagaikan jodoh', niat asal cuma nak bayar PTPTN, bekas jaguh gimnas negara guna bakat buka bisnes

BACA LAGI: Sakit kulit dihidapi jadi ilham Sarah bina Cuura, muncul jenama produk kulit sensitif dipercayai pengguna

Daripada jumlah tersebut, terdapat sebanyak tiga daripadanya yang berjaya menyerlah.

Ia terdiri daripada tangan prostetik (Plastech) untuk kegunaan individu kudung tangan atau orang kurang upaya (OKU), kit adaptasi individu tangan tidak boleh genggam dan mesin teknologi penghasilan penutup muka.

Berkongsi kepada Majoriti, Azuan yang juga anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan berkata, proses penghasilan kesemua inovasi itu tidaklah datang tanpa sebarang cabaran.

Ini kerana menurutnya, ketika proses awal penghasilan produk, tidak semua pihak akan menjadi penyokong dan memberikan keyakinan terhadap usaha dilakukan termasuk daripada rakan sejawatan.

"Ada yang kutuk dan perlekeh. Contohnya apabila saya buat sesuatu produk baharu, ada yang cakap produk plastik macam ini tak boleh pergi jauh.

"Tapi bila jadi macam itu, saya tak ambil kisah pun. Sebab mereka tak boleh sekat pun apa yang kita nak buat.

"Saya jadikan ia sebagai pendorong semangat dan buktikan apa yang saya buat ini bukan sia-sia dan boleh dijual dan beri manfaat kepada orang ramai," katanya yang memiliki minat mendalam selain turut menjadi tenaga pengajar bidang teknologi polimer atau plastik.

Inovasi cemerlang berjaya dilaksanakan Azuan turut mendapat perhatian selepas beliau menerima pengiktirafan Anugerah Juruteknik Negara 2024 anjuran Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) baru-baru ini.

Anugerah Juruteknik Negara yang disampaikan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bertujuan memberikan pengiktirafan kepada individu yang memberikan sumbangan signifikan kepada pembangunan dan kemajuan industri, masyarakat atau negara menerusi penghasilan projek dan produk dalam tempoh lima tahun.

454353718_813021710978020_2776155557575009402_n

Azuan (dua dari kiri) ketika menerima Anugerah Juruteknik Negara 2024 anjuran MBOT dalam satu majlis yang diadakan baru-baru ini. — MBOT

Selain berdepan kutukan pihak lain, Azuan berkata, antara cabaran lain yang terpaksa dihadapinya dalam melaksanakan sesuatu inovasi adalah kesukaran memperoleh sokongan kewangan ketika di awal proses tersebut.

"Kebiasaannya untuk permulaan sesuatu inovasi, kita memang kena guna duit sendiri dulu sebelum dapat apa-apa geran," ujarnya yang turut pernah membelanjakan kira-kira sebanyak RM5,000 untuk memulakan projek yang diusahakan.

Pada masa sama, Azuan berkata, proses menyempurnakan inovasi sesebuah produk juga lazimnya memakan masa agak lama sebelum boleh dikomersialkan dan dijual kepada pengguna.

Berdasarkan pengalamannya, beliau berkata, ia kebiasaannya boleh menjangkau sehingga tempoh dua tahun sebelum hasil ciptaan terbabit boleh digunakan kepada golongan sasar.

"Sesuatu produk itu mungkin boleh siap dalam satu hingga dua bulan. Tapi untuk ia betul-betul sempurna termasuk dengan dan perakuan daripada pihak berkuasa contohnya untuk produk kesihatan ia biasanya memang mengambil masa," kongsinya.

Inovasi dilakukan berjaya hasil pulangan cecah RM80,000

2604825

Produk inovasi tangan prostetik yang dihasilkan Azuan kini turut berada dala proses pengkomersialan dan mendapat kerjasama daripada Pusat Rehabilitasi PERKESO Tun Abdul Razak di Melaka. — Gambar hiasan

Sementara itu, Azuan berkata, pada waktu ini, terdapat hasil inovasi pengeluaran pelitup muka yang dilakukan bersama rakan sejawatannya di ADTEC kini turut memberikan pulangan dalam bentuk kewangan.

Beliau berkata, produk berkenaan dihasilkan dalam skala yang besar sekitar 2020 sewaktu tempoh pandemik berjaya memberikan pendapatan mencecah RM80,000 dalam tempoh enam bulan selepas mendapat suntikan geran bantuan berjumlah RM50,000 daripada Yayasan Inovasi Malaysia (YIM).

"Waktu itu negara kekurangan bekalan pelitup kelengkapan pelindung diri (PPE) dan kami pasukan ADTEC Jerantut bertindak untuk mengeluarkan pelitup muka untuk menampung keperluan seluruh negara ketika itu termasuk Sabah, Sarawak dan Singapura," ujarnya.

Berkongsikan dengan lebih lanjut, Azuan berkata, satu lagi ciptaan inovasinya iaitu tangan prostetik kini turut sedang dalam proses untuk dikomersialkan dan ia turut mendapat kerjasama daripada Pusat Rehabilitasi PERKESO Tun Abdul Razak di Melaka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram