[VIDEO] Pemandu OKU dedah video ditumbuk pengiring VIP, kecewa kes dah 2 bulan tapi tiada tindakan


  • Massa
  • Rabu, 14 Ogos 2024

Tangkap layar seorang pemandu OKU diserang oleh seorang anggota pengiring VIP telah didedahkan pada Rabu.

RAKAMAN kamera papan pemuka (dashcam) memaparkan seorang pemandu e-hailing kurang upaya diserang oleh seorang anggota pengiring VIP telah didedahkan pada Rabu.

Badan bukan kerajaan (NGO) Lawyers for Liberty (LFL) telah menunjukkan video yang memaparkan anggota pengiring tersebut menyerang pemandu berkenaan dalam kejadian yang mencetuskan kemarahan awam pada bulan Mei lalu.

Dalam klip dua minit tersebut, kelihatan mangsa, Ong Ing Keong, 46 tahun, dilihat sedang menunggu penumpangnya di luar Hotel St Regis, Kuala Lumpur sebelum seorang anggota keselamatan menghampirinya dan menjerit kepadanya.

BACA LAGI: [VIDEO] Wanita parah 8 kali ditikam di Taman Sri Muda, perompak gagal kebas apa-apa

BACA LAGI: [VIDEO] Luahan sayu isteri minta pelumba jet ski, Abdullah Abdul Mubin pulang undang sebak

Ong, yang bisu dan pekak, dilihat menurunkan tingkap untuk berkomunikasi dengan lelaki tersebut sebelum lelaki itu tiba-tiba menumbuk mukanya.

Penasihat LFL, N. Surendran, berkata, rakaman video kejadian yang berlaku pada 28 Mei itu telah diserahkan kepada pihak polis.

“Walaupun dengan bukti yang jelas seperti itu, tiada sesiapa pun yang telah dihadapkan ke muka pengadilan atas serangan terhadap Ong ini.

"Jelas sekali bahawa ia dilakukan oleh salah seorang daripada pengiring tersebut. Identitinya diketahui oleh badan siasatan. Kenapa tiada tindakan dikenakan?"

“Kami menggesa pihak berkuasa, polis, Pejabat Peguam Negara dan kerajaan untuk mengambil perkara ini dengan serius,” kata Surendran pada Rabu.

Pada masa sama, Ong, yang telah membuat dua laporan polis mengenai serangan itu, menyatakan bahawa dia masih menunggu keadilan.

“Saya sangat berharap suspek akan dibawa ke muka pengadilan. Saya telah menunjukkan muka saya kepada media. Mengapa suspek tidak didedahkan?

“Saya memang berasa sangat tertekan dengan sikap berdiam diri yang berpanjangan berhubung kejadian ini," katanya melalui jurubahasa isyarat.— The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram