Imbas 'debut' dalam arena politik, Hannah Yeoh ucap selamat ulang tahun buat PM Anwar


  • Primer
  • Sabtu, 10 Ogos 2024

PM Anwar sambut hari lahir ke-77 pada Sabtu.

MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengucapkan selamat ulang tahun kelahiran ke-77 kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menerusi hantaran di Facebook, Hannah Yeoh turut mendoakan agar Perdana Menteri diberikan kesihatan supaya boleh mentadbir negara ke arah lebih baik.

BACA LAGI: PM Anwar bentang laporan Ekonomi Madani pada 17 Ogos

BACA LAGI: Pelancong warga China maut, anak lelaki cedera dirempuh kereta di Melaka

"Semoga Tuhan mengurniakan kesihatan yang sempurna kepada anda supaya boleh terus berjalan dan berlari lebih laju daripada kebanyakan kami.

"Selamat menyambut hari ini dan kami berdoa agar dapat membawa pulang hadiah hari jadi istimewa dari Paris buat Tuan," katanya.

Dalam pada itu, Hannah turut mengimbau kembali detik-detik kemunculannya dalam arena politik selepas diperkenalkan oleh Anwar pada 2008.

"Tahun 2008 anda memperkenalkan saya kepada rakyat Subang Jaya dalam penampilan pertama di khalayak ramai dalam politik.

"Ketika itu saya baru berusia 29 tahun, baru berkahwin, begitu muda dan sangat segar.

"Beberapa tahun kemudian, saya dapati diri saya berkhidmat dalam Kabinet anda di Putrajaya.

"Saya menganggap ia adalah satu yang sangat istimewa untuk duduk di sana setiap minggu dalam mesyuarat Kabinet.

"Di sebalik pintu tertutup dan duduk bersama anda di atas pentas dalam acara awam dan telah menyaksikan sendiri konsistensi kata-kata anda untuk Malaysia yang adil dan berbilang kaum, baik di ruang peribadi mahupun awam," jelasnya.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) menerusi hantaran di Facebook rasminya turut memuat naik serangkap pantun dan ucapan hari lahir kepada Anwar.

"77 angka keramat,

Iltizam membara seiring usia,

Moga teguh memikul amanat,

Allah berkati hidup bahagia.

"Selamat ulang tahun kelahiran buat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim," demikian menurut hantaran itu.

PMO turut memuat naik video berdurasi 2 minit 49 saat yang merangkumkan ucapan selamat hari lahir daripada kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, serta Jemaah Menteri.

Mereka turut mendoakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu dipanjangkan umur, diberi kesihatan yang baik dan sentiasa berada dalam perlindungan Allah SWT.

Tidak ketinggalan, ucapan mendoakan Anwar akan membawa Malaysia ke tahap yang lebih tinggi serta diberi kebijaksanaan untuk terus memimpin Kerajaan Madani

"Selamat ulang tahun kelahiran, mudah-mudahan barakah, ketakwaan, keimanan bertambah," ucapan Ahmad Zahid kepada Anwar.

"Selamat menyambut ulang tahun kelahiran YAB Perdana Menteri. Semoga dirahmati Allah, yang lebih utama ialah diberi taufik dan hidayah, menjadikan Malaysia sebuah negara yang berjaya," ucap Fadilah.

"10 Ogos tarikh keramat bagi Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau nampaknya sihat, berjalan begitu pantas," kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke turut tidak ketinggalan mengucapkan selamat ulang tahun kepada Anwar, " Happy Birthday dan Selamat Hari Jadi'.

"Jangan lupa Datuk Seri dah 77 tahun, kalau boleh lari banyak sikitlah daripada yang sedia ada," Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

"Selamat menyambut hari ulang tahun," ucap Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Antara menteri lain yang menitipkan ucapan ialah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram