PADA awal bulan ini, kedudukan orang terkaya China berubah lagi apabila muncul nama baharu mengambil takhta tersebut.
Usahawan teknologi dan e-dagang yang juga pengasas platform beli-belah terkenal Temu, Colin Huang diumumkan sebagai orang paling kaya di republik itu.
Menurut Indeks Bilionair dikeluarkan Bloomberg, Huang memiliki kekayaan mencecah RM216.18 bilion, sekali gus mengatasi raja air botol China, Zhong Shanshan yang memegang gelaran itu sejak April 2021.
BACA LAGI: 'Ada kutuk, perlekeh', pensyarah ADTEC Pahang buktikan inovasi bantu OKU beri pulangan RM80,000
Mengekori rapat di kedudukan ketiga orang terkaya di China ialah ialah Ma Huateng atau lebih dikenali sebagai Pony Ma, iaitu peneraju syarikat teknologi gergasi Tencent, yang memiliki WeChat.
Manakala di tempat keempat pula ialah Zhang Yiming, pengasas ByteDance, yang memiliki platform perkongsian video popular TikTok.
Dalam pada itu, perkembangan tersebut turut menjadikan Huang sebagai individu ke-25 terkaya di dunia.
Dilahirkan pada 1 Januari 1980, di bandar Hangzhou, Zhejiang, China, kehidupan awal Huang adalah jauh daripada kemewahan yang dikecapinya pada hari ini.
Pada 2022, Huang menerusi PDD Holding Group meluaskan perkhidmatannya di pasaran global dengan melancarkan platform beli-belah, Temu di Amerika Syarikat. — Agensi
Dibesarkan dalam keluarga kelas pertengahan, ibu bapanya merupakan pekerja kilang yang menanamkan dalam dirinya nilai kerja keras dan ketabahan.
Pada usia 12 tahun, bakat Matematik luar biasa dimiliki membuatkannya mendapat tempat di Sekolah Bahasa Asing Hangzhou, yang juga institusi pendidikan yang elit.
Kecemerlangan akademik dicapai kemudiannya membawa beliau meneruskan pengajian ke Universiti Zhejiang, menyaksikan dia mengambil kursus dalam bidang sains komputer.
Huang seterusnya melanjutkan pengajian ke Universiti Wisconsin-Madison dan menamatkan ijazah sarjana pada 2004.
Selepas menamatkan pendidikan tinggi, dia mula bekerja di syarikat teknologi gergasi Google dan Microsoft dan mengasah kemahiran dalam teknologi dan pengurusan perniagaan.
Pada 2015, Huang membuat langkah berani dengan mengasaskan PDD Holdings Group, syarikat yang kemudiannya mewujudkan Pinduoduo, iaitu sebuah platform e-dagang yang segera mendapat tempat dalam pasaran pengguna di China.
Dengan model inovatif pembelian secara kumpulan yang menawarkan harga pada diskaun hebat, Pinduoduo dengan pantas menjadi salah satu platform e-dagang terbesar di China.
Colin Huang. — Agensi
Aplikasi tersebut turut menjadi platform runcit untuk memasarkan hasil pertanian.
Pertumbuhan pesat syarikat itu membawa kepada proses tawaran awam pada 2018, mengumpul AS$1.6 bilion (RM7.1 bilion).
Pada 2022, Huang menerusi PDD Holding Group meluaskan perkhidmatannya di pasaran global dengan melancarkan platform beli-belah, Temu di Amerika Syarikat.
Temu kemudiannya dengan segera menjadi salah satu aplikasi beli-belah teratas dan mengikut jejak langkah kejayaan strategi kos efektif yang berjaya dicapai Pinduoduo.
Pinduoduo dan Temu akhirnya menamatkan dominasi platform Alibaba yang dimiliki Jack Ma dalam sektor e-dagang dunia.
Huang kini dilaporkan sudah meletakkan jawatan selaku Pengerusi PDD Holding Group namun kekal sebagai pemegang saham terbesar syarikat berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram