Pro kontra jika jodoh Hidalgo bersama Sang Kenari tamat, hanya sekadar semusim di Kedah


  • Podium
  • Isnin, 02 Okt 2023

Hidalgo ketika beraksi bersama KDA FC dalam aksi Liga Super musim ini. — Facebook/Kedah Darul Aman FC

BERBAKI empat perlawanan Liga Super 2023, Kedah Darul Aman (KDA) FC kini dalam misi untuk merebut kedudukan kedua liga bagi membolehkan pasukan menempah slot ke Piala AFC pada musim depan.

Pada waktu ini, usaha untuk mencapai sasaran tersebut dilihat masih berada di dalam genggaman skuad Sang Kenari yang kini berada di tangan ketiga liga dengan 47 mata, hanya dibezakan lima mata dengan Selangor yang berada di satu kedudukan di atasnya dan turut memiliki lebihan satu perlawanan.

Untuk dinobatkan sebagai naib juara liga, anak buah Nafuzi Zain perlu menang kesemua aksi terakhirnya termasuk ketika menentang Selangor FC pada 2 Disember yang dijangka menjadi penentu hidup matinya dalam mencapai misi berkenaan.

Bagaimanapun, di sebalik kehangatan saingan tersebut, KDA FC turut dibayangi dengan kemungkinan perpindahan tonggak serangannya iaitu pemain import sayap kanan pasukan, Manual Hidalgo.

Ini kerana pemain kelahiran Argentina itu pada Mei lalu dilaporkan menarik minat kelab Liga 1 Indonesia, PS Barito Putera.

Disebabkan itu, berikut Majoriti senaraikan pro-kontra sekiranya berita perpindahan keluar Hidalgo daripada skuad Sang Kenari itu benar-benar berlaku pada musim depan.

Pro:-

1. KDA bakal nikmati yuran perpindahan

Memasuki musim ini, Hidalgo menjadi antara nama besar yang ditandatangani oleh KDA FC dalam usahanya untuk merombak pasukan bagi bersaing dengan lebih kompetitif bersama pasukan lain.

Malah, bekas tonggak Sri Pahang FC pada musim lalu ini juga tidak hadir ke Kedah dengan harga yang murah.

Ini kerana KDA FC dilaporkan membuat keputusan berani apabila menebus kontrak bekas pemain yang pernah beraksi bersama pasukan bawah 19 tahun kelab gergasi Liga Portugal, Benfica yang masih berbaki setahun bersama skuad Tok Gajah.

Dalam pada itu, berita kemungkinan perpindahannya ke kelab Liga 1 Indonesia pastinya tidak akan timbul sekiranya pengurusan skuad Sang Kenari tidak memberikan isyarat positif terhadap tawaran dikemukakan oleh kelab luar.

2097052

Hidalgo merupakan import dengan nama besar yang dibawa masuk ke KDA FC pada musim ini. — Facebook/KDAFC

Malah, Majoriti sendiri pada Mei lalu melaporkan bahawa pemain berusia 24 tahun itu menyerahkan masa depannya kepada pihak pengurusan pasukan.

Disebabkan itu sekiranya berita tersebut benar-benar berlaku, ia pastinya diiringi dengan tawaran yuran perpindahan yang lumayan kepada KDA FC.

Ini kerana pihak pengurusan tentunya tidak mahu menanggung kerugian selepas baru sahaja mengeluarkan belanja untuk mendapatkan bintang sayap kanan tersebut.

Hasil daripada bayaran yuran perpindahan itu sekiranya diterima akan membolehkan KDA FC untuk berbelanja mendapatkan pemain import baharu yang mungkin lebih baik.

2. Beri peluang kepada ubi muda tempatan

Perpindahan keluar Hidalgo pada musim hadapan pastinya akan meninggalkan kekosongan di posisi sayap kanan.

Ini secara langsung akan membuka peluang kepada pemain lain di dalam pasukan untuk menyinar khususnya dalam kalangan bakat tempatan dimiliki KDA FC.

Antara nama yang dilihat boleh mengisi kekosongan tersebut adalah Al-Hafiz, dan Faizal Talib yang masing-masing berusia 29 dan 25 tahun.

Bagaimanapun, sekiranya kedua-dua pemain disebutkan itu dilihat begitu cukup bagus untuk menampung impak ditinggalkan oleh Hidalgo, KDA FC juga mempunyai pilihan untuk membawa masuk pemain sayap tempatan lain yang menyerlah bersama pasukan lain di Liga M.

Antara nama yang boleh dipertimbangkan bagi posisi tersebut adalah Nik Sharif Haseefy, 26, dari Terengganu FC dan Faiz Nasir, 31 (Kelantan United FC).

Langkah ini dilihat tidak sukar untuk dilaksanakan kerana ia tentunya tidak akan melibatkan kos setinggi seperti mengambil pemain import.

Kontra:-

1. Sukar cari pengganti lebih baik

Dalam pada itu, pemergian Hidalgo sekiranya benar-benar berlaku pastinya memerlukan KDA FC untuk mencari pengganti yang sekurang-kurangnya sama atau lebih baik daripada pemain kelahiran Argentina itu.

Untuk memenuhi ciri-ciri tersebut, antara pilihan terbaik yang boleh dibuat adalah dengan mendapatkan pemain import yang terbukti boleh mempamerkan aksi terbaik di posisi berkenaan.

Bagaimanapun, dengan menilai prestasi pasukan rekrut dimiliki KDA FC ketika mendapatkan pemain import untuk memasuki musim ini, kebimbangan pastinya timbul dalam kalangan peminat.

Ini kerana daripada keseluruhan sembilan import yang diambil, hanya segelintir sahaja mampu menampilkan prestasi diharapkan.

2169400

Al-Hafiz Harun beraksi bersama Hijau Kuning. — Facebook/KDAFC

Antara rekrut import musim ini yang mendapat kritikan adalah dua tonggak serangannya iaitu Willian Lira dan Jonathan Balotelli dengan kedua-duanya ialah daripada Brazil.

Ekoran daripada aksi kurang meyakinkan, KDA FC mengambil keputusan untuk melepaskan Lira pada jendela perpindahan pertengahan musim ini.

Sementara itu, bagi Balotelli pula, dia dilihat masih sukar untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama pasukan.

2. Bantut proses pembinaan pasukan KDA FC

Dalam pada itu, perlu diakui bahawa skuad KDA FC bimbingan pada musim ini masih berada dalam proses pembentukan pasukan selepas melalui proses rombakan besar-besaran.

Disebabkan itu, meskipun sudah tersingkir awal dalam dua kejohanan utama iaitu Piala FA dan Piala Malaysia, namun keupayaan Nafuzi untuk meletakkan skuad Sang Kenari di kelompok teratas liga pada musim pertamanya mengendalikan pasukan adalah suatu pencapaian yang perlu diakui.

Bagaimanapun, kehilangan pemain tonggak utama barisan hadapan yang berpengaruh seperti Hidalgo tentunya akan sedikit merencatkan kesinambungan proses pembinaan skuad lebih-lebih lagi untuk musim depan.

2097040

Hidalgo merupakan pemain KDA FC yang menyumbang bantuan gol paling banyak setakat ini dengan 10 bantuan jaringan. — Facebook/KDAFC

Apatah lagi, Hidalgo dilihat merupakan satu-satunya import baharu yang dibawa masuk di bahagian serangan yang mampu menerapkan pengaruhnya kepada buat pasukan.

Pada musim ini, Hidalgo menjadi kunci utama kepada serangan pasukan KDA FC dengan dia kini memegang rekod sebagai pemain dengan bantuan jaringan gol paling banyak bagi pasukan dengan 10 bantuan gol di samping menyumbang empat jaringan.

Dia juga diturunkan dalam kesemua 21 perlawanan liga sejak awal musim ini.

Satu-satunya perlawanan yang dia tidak diturunkan adalah ketika aksi terakhir pasukan semasa menentang Kuala Lumpur (KL) City FC pada Sabtu lalu dalam saingan Liga Super. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram