SEORANG ibu berkongsi kisah detik cemas bayinya yang berusia dua bulan nyaris maut gara-gara diberi minum air masak yang tercemar oleh ibu mertuanya.
Nor Syafiqah Nordin Ahmad berkata, kejadian itu berlaku di rumah ibu mertuanya ketika dia sedang menjalani proses berpantang selepas melahirkan anaknya, Nor Dhuha Mardziah Mohd Syawal.
"Ibu mentua saya asyik kata anak saya, Nor Dhuha tak kenyang, perlu beri makan minum tambahan macam nestum dan sebagainya. Saya bertegas, benda itu salah dan Alhamdulillah ibu mertua saya memahami.
"Tapi satu hari, ibu mentua saya mengambil Nor Dhuha, saya ingatkan nak dukung tetapi rupanya mahu suapkan air masak, sikit sahaja amaunnya," katanya kepada Majoriti.
Nor Syafiqah Nordin Ahmad (kiri) dan suaminya, Khairul suffian Mohammad (kanan) bersama bayi mereka, Nor Dhuha Mardziah Mohd Syawal.
Sejak itu, Nor Dhuha sering muntah yang teruk sehingga mengalami sakit yang berlarutan selama 20 hari.
Selepas menjalani imbasan pemeriksaan X-ray, didapati usus anaknya itu sudah mengembang.
"Dalam imej usus kosong, takde usus, rupanya usunya dah kembang teruk, memang dah tiada rupa usus," katanya mengimbau kembali kejadian yang berlaku kira-kira empat tahun lalu.
Lebih menyayat hati, Nor Syafiqah berkata, anaknya itu terpaksa ditidurkan selama tiga hari di Sultanah Nur Zahirah Hospital, Kuala Terengganu.
"Hanya sebab diberi sedikit, yang sangat sedikit air masak. Sampai macam itu anak saya kena. Saya cukup-cukup trauma," katanya.
Selepas anaknya memasuki usia 4 tahun 2 bulan, Nor Syafiqah berkata, anaknya masih belum pulih dengan sempurna dan sering jatuh sakit.
"Ada masalah dengan usus dia, kadang-kadang dalam dua bulan sekali, anak saya tiba-tiba rasa sakit perut dan sakit itu akan berlarutan sampai seminggu.
"Bila jadi macam itu semula, saya akan ke hospital untuk ambil ubat. Anak saya hanya ambil ubat waktu sakit dia datang sahaja," katanya.
BACA LAGI: 'Saya jadi sangat defensif terhadap adik,' Amira Othman tak suka Irfan jadi buah mulut orang mengata
Gambar terkini bayi, Nor Dhuha Mardziah Mohd Syawal yang pernah bertarung nyawa kerana air masak.
Perkara itu turut dikongsikan menerusi laman Facebooknya untuk membangkitkan kesedaran kepada para ibu di luar sana khususnya wanita yang bakal melahirkan anak pertama.
"Ini merupakan pengalaman sebenar saya, sekurangnya semua dapat peka mengenai perkara ini," tulisnya.
Susulan itu, ramai netizen mulai sedar betapa pentingnya ilmu tentang pemakanan bayi sebelum bergelar ibu bapa.
Menurut pakar perubatan ketika dihubungi Majoriti, Ahmad Samhan Awang, 37, terdapat empat sebab bayi tidak boleh diberi air masak sebelum mencapai usia enam bulan.
1. Air masak tidak ada khasiat
Memberikan bayi air kosong akan menyebabkan perut bayi terisi dengan bahan yang tidak berzat.
Keadaan ini akan menyebabkan perut bayi tiada ruang untuk vitamin, mineral, lemak dan kalori yang sememangnya penting untuk pertumbuhan dan perkembangan bayi.
2. Air masak tidak ada kalori
Air masak untuk bayi tidak diperlukan sehinggalah umur mereka mencecah enam bulan ke atas atau sudah mulai makan.
Jumlah air yang terdapat pada susu ibu dan susu formula sudah mencukupi untuk kesihatan bayi.
Bahkan, air masak tidak mempunyai sebarang kalori untuk mengisi perut bayi dan secara tidak langsung akan membuatkan si kecil kurang berminat untuk minum susu.
Malah, ia akan menyebabkan penurunan berat badan bayi dan meningkatkan kadar bilirubin.
BACA LAGI: Bakal nikahi ahli perniagaan, Shakilla Koriri letih kena urus banyak benda
Bayi akan kurang minum air susu jika sudah diberi air masak.
3. Bayi akan kurang minum air susu
Susu sama ada susu ibu ataupun susu formula sudah mempunyai kandungan air yang mencukupi untuk keperluan dan kesihatan bayi.
Susu ibu sahaja sudah mempunyai 88 peratus air yang sangat mencukupi untuk bayi.
Jika diberi minum air masak, selera bayi untuk menyusu akan terjejas.
"Bayi akan kurang minum susu disebabkan kenyang. Hal ini menjadi punca bayi kekurangan zat akibat kurang menyusu," katanya.
Ini turut mengundang permasalahan lain, seperti tumbesaran bayi boleh terjejas sehingga terjadinya kurang berat badan, malnutrisi, atau bantut.
Malah, apabila bayi minum air kosong dan kurang menyusu, penghasilan susu ibu juga akan turut terjejas yang seterusnya mengakibatkan susu ibu akan kering sehingga bayi terpaksa bertukar kepada susu formula.
4. Buah pinggang bayi masih belum matang
Memberi bayi minum air masak, walaupun tampak seperti tidak berbahaya sebenarnya boleh mengakibatkan kematian kepada bayi akibat water intoxication.
Ia berlaku disebabkan buah pinggang bayi masih belum matang, maka air yang diberikan secara berlebihan menyebabkan badan mereka memasuki keadaan hyponatremia dan masalah ini boleh menjejaskan fungsi otak.
Oleh itu, Ahmad Samhan Awang turut memberi sedikit pesanan buat para ibu terutama yang bakal melahirkan anak pertama.
"Pemakanan untuk dua tahun pertama kelahiran sangat penting untuk tumbesaran bayi dan imuniti badan.
"Banyakkan pembacaan dan jika tidak pasti boleh rujuk doktor untuk tahu lebih lanjut," katanya.
Kebanyakan doktor pakar berpendapat bayi bawah umur satu tahun tidak patut diberi minum air kosong kecuali atas keperluan tertentu seperti untuk membersihkan lidah atau mulut selepas makan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram