'Kalau bukan saya siapa lagi', graduan UiTM buang sifat pemalu cipta kejayaan di Selangor, mahu tubuh NGO demi anak muda Kelantan


  • Massa
  • Rabu, 07 Ogos 2024

Amirul bercita-cita menjadi perintis yang dapat mengajak lebih ramai tentang kepentingan menjaga alam sekitar.

SIFAT pemalu tidak mematahkan semangat seorang peserta dalam program TEAM di bawah Komuniti Belia Selangor (SAY) apabila terpilih menjadi pemenang Anugerah King's Trust Kelestarian Asia 2024 pada Selasa.

Memulakan langkah di SAY, Amirul Mukminin Rozaili bertekad untuk memperbaiki diri dengan meneroka lebih mendalam tentang dunia alam sekitar.

Jejaka berusia 24 tahun itu membuat keputusan sedemikian apabila ia berkait rapat dengan jurusan yang diambilnya ketika melakukan pengajian dalam jurusan pengurusan biodiversiti di Universiti Institut Teknologi MARA (UiTM) Jengka, Pahang.

BACA LAGI: Stadium jadi titik mula, penyokong Selangor FC terap budaya bersihkan sampah setiap kali lepas game

BACA LAGI: [VIDEO] 'Dakwah santai tapi sampai', content creator peminat 'Gerak Khas' beri konsep unik kempen ajak ke masjid

6167936688098231007

Amirul Mukminin ketika memberi ucapan di majlis penyampaian anugerah di Bandar Sunway, Petaling Jaya, Selangor pada Selasa.

Amirul berkata, minatnya untuk menceburi bidang itu semakin kuat kerana mahu memberi manfaat dan pertolongan kepada orang lain tanpa bertemu dengan ramai orang.

Menurutnya, aktiviti menanam pokok atau menghutankan semula hutan antara cara yang dilakukan untuk mengatasi sifat malunya di tempat awam.

"Kenapa saya minat bidang konservasi alam sekitar sebab macam dulu, saya seorang pendiam dan pemalu tapi saya suka untuk memberi pertolongan atau lakukan sesuatu yang bermanfaat.

"Saya juga minat akan keindahan alam sekitar, sungai, laut, hutan, gunung-ganang. Jadi saya anggap pada ketika itu, bidang itu adalah jawapan kepada bidang yang saya patut ceburi.

"Kita tahu yang pokok atau hutan menukar karbon dioksida kepada oksigen melalui fotosintesis. Dengan adanya oksigen yang banyak, suhu akan lebih sejuk, segar dan orang lain dapat manfaat.

"Jadi, saya dapat membantu orang lain tanpa bertemu secara bersemuka begitu," katanya kepada Majoriti.

6165684888284547090

Amirul Mukminin yang memulakan langkahnya dengan menyertai program TEAM SAY sebelum mencapai kerjaya idamannya.

Amirul yang juga merupakan kelahiran Kelantan itu juga berkata, kerjayanya sebagai Eksekutif Projek Restorasi Hutan di Tropical Rainforest Conservation dan Research Centre (TRCRC) cawangan Banun, Perak merupakan kejayaannya selepas menyertai program TEAM pada September 2022.

Katanya, kerjayanya itu kini tidak cukup untuk dilakukan seorang diri sahaja dan mahu mengajak lebih ramai tentang kepentingan menjaga alam sekitar.

"Bila saya bekerja di dalam industri konservasi alam sekitar baru saya sedar yang usaha dari seorang sahaja tidak cukup.

"Motivasi atau inspirasi saya adalah kata-kata, 'kalau bukan saya, siapa lagi'. Saya sangat suka membantu orang lain seperti pokok yang memberi banyak maafaat iaitu mengawal hakisan tanah, menjadi kolam tadahan air, menyediakan habitat kepada haiwan-haiwan, menyediakan makanan kepada haiwan-haiwan dan sebagainya," jelasnya.

Anak sulung daripada tiga beradik itu turut menambah bahawa tindakan menyertai program TEAM adalah didorong oleh kata-kata semangat ibunya.

Ibarat bulan jatuh ke riba, Amirul tidak menyangka akan dapat menyertai program tersebut dengan begitu pantas dan mudah.

"Saya dapat tahu tentang TEAM bila ada keluar iklan di media sosial. Saya minta pendapat keluarga dan kira-kira seminggu selepas tamat semester akhir terus ditawarkan oleh SAY," ujarnya.

6167936688098231098

Amirul (kiri) yang kini bekerja di TRCRC.

Antara kata-kata ibunya yang menjadi pemangkin untuk Amirul berjuang adalah supaya menjadi contoh kepada masyarakat.

"Ibu pernah cakap, saya sebagai anak sulung juga kena tunjukkan contoh kepada adik-adik saya yang masih bersekolah dan belajar di universiti.

"Ibu bapa saya juga sangat galakkan saya untuk keluar cari pengalaman sekali gus buatkan saya lagi yakin untuk sertai TEAM," katanya lagi.

Sementara itu, Amirul juga berharap agar dapat mengembangkan lagi kerjayanya dan menyimpan impian untuk menubuhkan badan bukan kerajaan (NGO) seperti SAY di tempat kelahirannya iaitu Kelantan.

Amirul pada masa sama giat melakukan promosi dan galakkan kepada pelajar-pelajar lain dengan memberi seminar dan ceramah di beberapa universiti sebagai alumni. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram