KKM umum semakan 3 perincian SOP Covid-19 dalam masa terdekat


  • Primer
  • Sabtu, 29 Jun 2024

KKM akan mengeluarkan perincian semakan semula SOP berkaitan Covid-19 dalam waktu terdekat susulan daripada negara telah beralih ke fasa hidup bersama pandemik Covid-19.

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) akan mengeluarkan perincian semakan semula prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Covid-19 dalam waktu terdekat susulan daripada negara telah beralih ke fasa hidup bersama pandemik Covid-19.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, perincian itu akan melibatkan tiga perkara iaitu perintah pengawasan dan pemerhatian (HSO), pemakaian pelitup muka dan pengisytiharan kawasan tempatan jangkitan.

"Butiran (SOP) itu adalah teknikal. Sebagai contoh, dahulu HSO lima hari berada di rumah dan perlu kemas kini gejala dalam MySejahtera. Ia mungkin berubah.

BACA LAGI : [VIDEO] Kenderaan milik JAKOA terbabit kemalangan, 4 penumpang tercampak keluar

BACA LAGI : Kritikan pakar pendidikan terlalu negatif antara punca guru bersara awal — KGMMB

"Kita berada di era menganggap Covid-19 seperti virus lain seperti influenza.

"Dulu kita beranjak dari transisi pandemik ke endemik. Sekarang kita mahu keluar daripada transisi endemik kepada hidup dengan virus,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Bulan Pemakanan Malaysia Peringkat Kementerian Kesihatan 2024 bertemakan ‘Ubah Minda, Cegah Penyakit Berkaitan Pemakanan pada Sabtu.

Dzul

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad

Mengulas program tersebut, beliau berkata ia bertujuan mengubah minda dan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan mengamalkan pemakanan sihat bagi mencegah penyakit tidak berjangkit (NCD) berkaitan pemakanan.

Beliau berkata, ini kerana prevalen semasa NCD di negara ini sangat membimbangkan dengan hasil tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 menunjukkan prevalen obesiti dan berat badan berlebihan meningkat kepada 54.5 peratus tahun lepas berbanding 50.1 peratus pada 2019.

"Secara konsisten untuk sedekad lepas, bagi setiap dua rakyat Malaysia dewasa, seorang mengalami berat badan berlebihan manakala satu daripada enam rakyat dewasa menghidap diabetes menunjukkan lebih separuh dewasa terdedah kepada risiko mendapat NCD akibat obesiti tidak terkawal,” katanya.

Dzulkefly berkata, KKM juga merangka Pelan Strategik Mengurangkan Gula Dalam Kalangan Rakyat Malaysia (2024-2030) bagi memastikan aktiviti yang lebih agresif dan bersasar dapat dilaksanakan secara bersepadu di pelbagai peringkat.

"Ia bagi menangani pengambilan gula secara berlebihan melalui perancangan inisiatif Perang Terhadap Gula yang akan dilancarkan dalam waktu terdekat,” katanya.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram