
POLIS telah mengenakan tindakan tatatertib terhadap anggotanya yang disyaki mencederakan pemandu e-hailing Orang Kelainan Upaya (OKU) di St Regis, pada 28 Mei lalu, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Menurut laporan BH Online, beliau berkata, tindakan itu sudah dilaksanakan segera susulan siasatan dalaman yang dijalankan oleh pihak Jabatan Intergriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Polis Diraja Malaysia (PDRM) awal Jun lalu.
"Tindakan terhadap anggota yang melakukan kesalahan ini sudah dilaksanakan pada peringkat awal lagi sebaik pihak JIPS selesai menjalankan siasatan dalaman," katanya pada Rabu.
BACA LAGI: 'Ada kutuk, perlekeh', pensyarah ADTEC Pahang buktikan inovasi bantu OKU beri pulangan RM80,000
Razarudin berkata, siasatan terhadap anggota tersebut turut dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan atas kesalahan mendatangkan kecederaan.
Menurutnya, mana-mana anggota yang didapati melakukan kesalahan tatatertib akan berhadapan dengan pelbagai tindakan seperti amaran, tahan kenaikan gaji, gantung kerja dan diturunkan pangkat.
Tangkap layar rakaman video memaparkan detik-detik mangsa dipukul oleh individu disyaki anggota polis.
Pada masa sama, Razarudin turut kembali mengulangi penegasannya bahawa pihak polis tidak pernah melindungi mana-mana pegawai atau anggota polis yang melakukan apa juga kesalahan.
Beliau berkata demikian susulan kenyataan peguam mewakili mangsa pemandu e-hailing OKU, Ong Ing Keong, 48, iaitu N Surendran yang tampil mempersoalkan tindakan polis dan pejabat Peguam Negara dalam kes berkenaan.
Pada Rabu, badan bukan kerajaan (NGO) Lawyers for Liberty (LFL) telah menunjukkan video yang memaparkan anggota pengiring tersebut menyerang pemandu berkenaan dalam kejadian yang mencetuskan kemarahan awam pada bulan Mei lalu.
Dalam klip dua minit tersebut, kelihatan mangsa, Ong Ing Keong, 46 tahun, dilihat sedang menunggu penumpangnya di luar Hotel St Regis, Kuala Lumpur sebelum seorang anggota keselamatan menghampirinya dan menjerit kepadanya.
Ong, yang bisu dan pekak, dilihat menurunkan tingkap untuk berkomunikasi dengan lelaki tersebut sebelum lelaki itu tiba-tiba menumbuk mukanya.
Penasihat LFL, N Surendran, berkata, rakaman video kejadian yang berlaku pada 28 Mei itu telah diserahkan kepada pihak polis.
Pada masa sama, Ong, yang telah membuat dua laporan polis mengenai serangan itu, menyatakan bahawa dia masih menunggu keadilan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram