
TENGKU Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menggesa siasatan telus dilakukan terhadap kes membabitkan sindiket yang menjalankan kegiatan haram kilang pemprosesan sisa elektronik (e-waste) bernilai jutaan ringgit.
Tengku Mahkota Pahang itu turut menzahirkan ucapan terima kasih dan tahniah kepada polis yang diketuai Ketua Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman, Datuk Muhammed Hasbullah kerana berjaya menjalankan operasi terhadap kilang pemprosesan terbabit yang beroperasi tanpa lesen khususnya di Salong, Pekan, dan Bukit Ibam, Muadzam Shah, Pahang.
“Tengku Mahkota Pahang turut menyatakan sokongan penuh kepada polis untuk memperhebat dan meneruskan operasi membanteras kegiatan haram di Pahang,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
BACA LAGI: 'Ada kutuk, perlekeh', pensyarah ADTEC Pahang buktikan inovasi bantu OKU beri pulangan RM80,000
Berdasarkan maklumat diperoleh daripada keluarga Diraja Pahang, polis pada Selasa menahan 55 individu termasuk seorang lelaki bergelar Datuk kerana didakwa menjalankan operasi pemprosesan sisa haram di beberapa negeri.
Individu bergelar Datuk itu yang juga warga Malaysia bersama sembilan lagi warga tempatan dan 45 warga asing berusia antara 30 dan 50 tahun ditahan dalam serbuan dijalankan di Pahang, Johor, Selangor dan Negeri Sembilan pada 5 Ogos.
Polis pada Selasa menahan 55 individu termasuk seorang lelaki bergelar Datuk kerana didakwa menjalankan operasi pemprosesan sisa haram di beberapa negeri.
Di Pahang, polis menerima maklumat mengenai kilang haram itu daripada Tengku Mahkota Pahang.
Makluman itu susulan kebimbangan orang ramai mengenai kegiatan haram seumpama itu di Pahang dan ia membawa kepada serbuan terhadap sebanyak tujuh kilang tidak berlesen pada minggu lalu.
Dalam pada itu, Tengku Hassanal turut menyeru agensi penguatkuasaan lain seperti unit penguatkuasaan Pahang, Jabatan Perhutanan Negeri, Jabatan Alam Sekitar dan pihak berkuasa tempatan untuk terus meningkatkan aktiviti penguatkuasaan secara lebih tegas bagi membendung kegiatan jenayah alam sekitar tersebut.
Tengku Mahkota Pahang juga menggesa semua pihak supaya menjunjung titah Sultan Pahang untuk menjaga alam sekitar termasuk flora dan fauna serta sumber air di negeri ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram