
MENTERI Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail selesai menjalani prosedur pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN) di ibu negara pada Jumaat.
Setiausaha Politik kepada Wan Rosdy, Mohd Farid Mohd Nor memaklumkan berkat doa dan solat hajat pelbagai pihak, pembedahan itu juga berjalan lancar.
"Menteri Besar (Wan Rosdy) kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi IJN untuk pemantauan pasukan perubatannya bagi tempoh 24 jam,” katanya dalam kenyataan.
BACA LAGI: Mahkamah Tinggi benarkan afidavit Wan Rosdy sokong permohonan tahanan rumah Najib
BACA LAGI: MB Pahang fail afidavit sokong permohonan Najib isu tahanan rumah
Mohd Farid berkata, pihak keluarga Wan Rosdy turut menjunjung kasih kepada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
"Ucapan jutaan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan juga kepada Pasukan Perubatan IJN dan semua pihak yang mendoakan kesembuhan dan keafiatan Menteri Besar," katanya.
Al-Sultan Abdullah sebelum ini bertitah supaya semua masjid di Pahang mengadakan solat hajat bagi mendoakan urusan rawatan Wan Rosdy berjalan lancar dan dipermudah.
Pada Khamis, Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Zulkifli Yaacob berkata, Wan Rosdy akan menerima rawatan di IJN bermula Jumaat sehingga satu tarikh yang akan ditentukan doktor kelak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram