TMJ nafi kehadiran Kobe Jae, hanya tinggal Terengganu dan Selangor harapan pemain warisan


  • Podium
  • Rabu, 26 Jun 2024

Kobe Jae menjalani latihan bersama Selangor sejak Rabu lalu. — Instagram/KobeJae

KHIDMAT pemain warisan Jamaica-Malaysia, Kobe Jae Chong tidak diperlukan di Johor Darul Ta'zim (JDT) selepas pemilik kelab berkenaan, Tunku Mahkota Ismail tampil berkongsi mengenai status ubi muda itu.

Dalam satu kenyataan ringkas di ruangan komen Instagram MakanBola, Tunku Ismail atau lebih dikenali sebagai TMJ memberi respons 'No' atau tidak yang membawa maksud penafian terhadap khabar angin Kobe Jae ke Harimau Selatan.

Jawapan ringkas daripada Tunku Ismail sudah cukup memperjelaskan bahawa Harimau Selatan tidak berminat dengan pemain warisan yang dikhabarkan sedang dalam proses mendapat status warganegara itu.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Follow' ramai pemain Selangor dekat IG, Kobe Jae semakin hampir sertai Gergasi Merah?

BACA LAGI: Reziq Bani Hani, Saddil Ramdani antara 4 bintang tumpuan bakal tunjuk belang di Indonesia

Akhir-akhir ini, destinasi pemain berusia 22 tahun berkenaan menjadi topik hangat dibincangkan para penyokong dengan pasukan seperti JDT, Selangor FC, Sri Pahang dan Terengganu FC (TFC).

Selangor FC menjadi pasukan terdekat boleh mendapatkan Kobe Jae selepas dia dilihat menjalani latihan bersama pasukan itu sejak Rabu lalu dengan barisan kejurulatihan berpeluang melihat lebih dekat kemampuannya.

Selain latihan, bekas pemain kelab Itali, Cagliari Calcio itu juga sudah mengikuti pemain-pemain Selangor seperti Mukhairi Ajmal, Nooa Laine, Samuel Somerville, Alvin Fortes dalam laman Instagram miliknya.

WhatsApp Image 2024-06-26 at 13.07.09

Tangkap layar penafian TMJ mengenai khabar angin Kobe Jae ke JDT.

Pasukan kedua juga dikatakan bersaing untuk mendapatkan khidmat pemain tengah berkenaan ialah Terengganu dengan pasukan itu dilihat boleh membantu Chong mengembangkan bakatnya sebagai pemain tengah.

Sementara itu, Sri Pahang pula diibaratkan seperti mempunyai sejarah lama bersama Kobe Jae apabila bekas pemain akademi West Bromwich Albion berkenaan dikatakan bakal menyertai Tok Gajah pada musim 2022.

Kobe Jae dikaitkan dengan Sri Pahang setelah pemain itu pernah berjumpa dengan presiden Pahang Rangers, Tengku Arif Temenggong Tengku Fahd Mua’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah pada Mei 2022. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram