KEBIJAKSANAAN Sultan Ibrahim dalam memakmurkan Johor sepanjang menaungi negeri itu pastinya akan dapat membawa negara ke tahap lebih maju sepanjang lima tahun penggal pemerintahan Seri Paduka Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, dalam satu temu bual khas baru-baru ini berkongsi bahawa Seri Paduka Baginda sangat menitikberatkan perpaduan antara masyarakat berbilang kaum dan agama yang merupakan kunci kemakmuran serta kemajuan sesebuah negeri atau negara.
"Melihat cara Sultan Ibrahim mentadbir Johor, saya yakin Seri Paduka Baginda akan buat perkara sama di peringkat negara," katanya.
BACA LAGI: 'Jangan kacau saya', Tengku Mahkota Pahang nafi khabar angin bakal berkahwin dalam masa terdekat
BACA LAGI: 'Jangan jadikan media sosial tempat berbalah' — Sultan Ibrahim
Selain itu, Onn Hafiz berkata, isu-isu melibatkan kehidupan rakyat dan perpaduan kaum sentiasa menjadi topik perbincangan antara beliau dengan Sultan Ibrahim termasuk dalam situasi tidak formal dan santai seperti ketika program Kembara Mahkota Johor (KMJ).
"Saya selalu berkongsi kenderaan dengan Seri Paduka Baginda ketika mengunjungi daerah-daerah Johor dalam program KMJ.
Onn Hafiz menegaskan isu perpaduan dan perkauman sering dibincangkan setiap kali pertemuan antaranya dan Sultan Ibrahim.
"Sultan Ibrahim gemar bercerita mengenai sejarah Johor dan daerah-daerah yang dilawati, pada masa sama mengingatkan saya untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat di setiap daerah berkenaan," katanya.
KMJ yang diilhamkan Sultan Ibrahim pada 2001 ketika bergelar Tunku Mahkota Johor bertujuan menyelami denyut nadi rakyat jelata.
Sejak itu, KMJ menjadi satu daripada acara utama tahunan Johor sekali gus merapatkan hubungan Istana Johor dengan rakyat.
Onn Hafiz turut berkata, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah sememangnya berjiwa rakyat dan cakna dengan isu serta permasalahan yang dihadapi masyarakat pelbagai lapisan peringkat.
"Seri Paduka Baginda berdua memang raja yang tegas tetapi sangat penyayang sifatnya dan sangat menjiwai rakyat.
Kembara Mahkota Johor merupakan cara Sultan Ibrahim mendekatkan dirinya dengan orang ramai.
"Misalnya, ketika negara berdepan pandemik Covid-19, keluarga diraja Johor menyumbangkan lebih RM180 juta dalam tempoh singkat untuk membantu rakyat seluruh negeri.
"Apa sahaja yang dititahkan Seri Paduka Baginda berdua akan menyentuh keperluan rakyat sebagai contoh keperluan tambahan hospital di negeri ini yang tidak mencukupi dan pelebaran Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), syukur berkat titah Kebawah Duli Tuanku, kelulusan telah diberi untuk projek berkenaan," katanya.
Pelebaran Lebuhraya PLUS daripada empat kepada enam lorong dilanjutkan dari Sedenak ke Simpang Renggam dengan kos RM931 juta diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Belanjawan 2024 pada Oktober tahun lalu.
Istiadat Pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 akan berlangsung di Istana Negara pada 20 Julai.
Sultan Ibrahim telah melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari lalu. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram