Mahu jadikan Kajang bandar selamat dan bersih, MPKj giat laksana pelbagai inisiatif, kempen


  • Massa
  • Rabu, 14 Ogos 2024

MPKj giat melaksanakan pelbagai inisiatif demi menjadikan kawasan Kajang dan sekitarnya sebagai bandar bersih dan selamat. — Gambar hiasan/Agensi

PELBAGAI usaha sedang giat dilakukan pihak berkuasa tempatan bagi menaik taraf dan menambah baik segala infrastruktur khususnya di kawasan Kajang, Selangor.

Langkah tersebut dilaksanakan oleh pihak Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dalam mewujudkan suasana bandar harmoni buat seluruh penduduknya.

Ia selari dengan matlamat dan sasaran pernah dicadang oleh Presiden MPKj, Nazli Md Taib pada 2023 yang mahu memfokuskan beberapa aspek untuk dinaik taraf di bandar itu.

BACA LAGI: 'Kakak penguat semangat', Syafiq bebaskan diri dari dunia dadah lepas 5 kali ditangkap, kini cipta nama jadi fasilitator SAY

BACA LAGI: 'Kalau bukan saya siapa lagi', graduan UiTM buang sifat pemalu cipta kejayaan di Selangor, mahu tubuh NGO demi anak muda Kelantan

454420598_902027385302182_2511607482813000931_n

Kerja-kerja mencatas pokok di atas cerun belakang rumah di kawasan Hulu Langat, Selangor. — Facebook/MPKj

Beliau yang juga pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Bahagian Pembangunan Kementerian Kesihatan menyatakan hasratnya untuk menjadikan Kajang sebagai sebuah bandar raya bersih.

Nazli pada ketika itu amat mementingkan aspek infrastruktur dan ekonomi di bandar Kajang.

Antara cadangan penyelesaian bagi aspek kebersihan adalah pengurusan sisa dan pembuangan sampah dengan kerjasama pihak Pengurusan Sisa Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) dan agensi lain.

Sebagai langkah permulaan dengan misi meringankan beban penduduk Kajang, MPKj secara berkala melaksanakan Kempen Pengurangan Denda Letak Kereta yang menawarkan kadar bayaran sebanyak RM10 bermula Disember 2023.

Lanjutan kempen tersebut sehingga hari ini menunjukkan wujudnya sifar bertolak-ansur antara pihak PBT dan penduduk.

Mana tidaknya, MPKj sekali lagi memberi peluang kepada masyarakat untuk menyelesaikan kompaun-kompaun tertunggak sempena bulan kemerdekaan bermula 1 Ogos lalu dengan syarat yang sama.

453485260_984381856812092_593244199641173608_n

Kempen pengurangan pengurangan kompaun sepanjang bulan kemerdekaan ini. — Facebook/MPKj

Tawaran bayaran itu adalah untuk setiap kompaun bagi kesalahan gagal membayar caj tempat letak kereta.

Pernah berkhidmat sebagai bekas Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Nazli ternyata sedaya upaya memastikan keselamatan pengguna jalan raya di daerah itu.

Menyokong usaha berkenaan, Ketua Unit Perancangan Korporat dan Perhubungan Awam MPKj, Kamarul Izlan Sulaiman melihat ia sebagai satu perancangan pembangunan seimbang dan mapan dalam tempoh atau jangka masa panjang.

Katanya, penambahbaikan dilakukan di sekitar kawasan perumahan seperti penyelenggaraan jalan, pemantauan landskap bertujuan bagi menjadikan Kajang sebagai bandar berdaya tahan yang berkebolehan menguruskan kemapanannya.

"Ia juga sebagai persediaan kepada sebarang gangguan dan kejutan terhadap sekitar, komuniti dan ekonomi serta mengimbangi antara kawasan komersial, industri termasuk kediaman penduduk.

"MPKj pada masa sama beriltizam untuk terus menambah baik perkhidmatan perbandaran dengan menggerak inisiatif keusahawanan dengan menyokong usaha kerajaan negeri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam memulihkan kehidupan rakyat," katanya kepada Majoriti.

455084955_1637087747076007_2000600448361839660_n

Antara sewaan kios yang ditawarkan pihak MPKj di beberapa kawasan sekitar Kajang. — Facebook

Antara usaha membangunkan usahawan-usahawan tempatan adalah dengan menawarkan perkhidmatan sewaan mini kios di beberapa lokasi seperti Semenyih dan Bangi.

Kios yang berkonsepkan santai dan moden itu juga memberi peluang kepada peniaga-peniaga kecil untuk menjana pendapatan tanpa memerlukan kos tinggi kerana tiada sebarang aktiviti memasak dibenarkan.

Mengambil kira kebimbangan masyarakat terhadap kekerapan berlakunya jenayah di Malaysia, MPKj turut merancang akan memasang sebanyak sembilan unit butang panik di tempat awam sekitar kawasan pentadbiran majlis tersebut yang dijangka akan disiapkan pada November nanti.

Menurut Kamarul, antara kawasan yang terlibat adalah Stadium Kajang (satu unit), Taman Tasik Cempaka (lima unit), ⁠Tasik Sungai Chua (dua unit) dan Kompleks Sukan Seksyen 15 Bandar Baru Bangi (satu unit).

Tambahnya, MPKj juga sedang meneliti pembikinan Sistem Pemantauan Bandar Selamat (SPBS) akan dibangunkan oleh PLANMalaysia dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) ke dalam Command Center MPKj yang dijangka mula dibina pada akhir 2024.

Sistem tersebut mengintegrasikan elemen penandaan kejadian jenayah di atas peta atas pelantar Sistem Maklumat Geografi (GIS) yang mempunyai koordinat tertentu.

Ia dapat memantau keberkesanan pelaksanaan langkah Program Bandar Selamat dalam menangani jenayah jalanan di kawasan PBT dan mengenal pasti kawasan hotspots sedia ada serta, corak jenayah serta lokasi kerap berlaku jenayah.

SPBS secara tidak langsung dijangka dapat menyediakan maklumat penting untuk penguatkuasaan langkah-langkah pencegahan jenayah di kawasan terlibat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram