URUSAN pengebumian jenazah yang sepatutnya dipermudahkan masyarakat setempat kini semakin sulit dengan sikap segelintir pihak yang gemar mengambil kesempatan demi mengaut keuntungan.
Perbuatan itu boleh dianggap sebagai salah satu modus operandi kartel yang kebiasaannya menetapkan kadar bayaran tinggi bagi urusan jenazah.
Pernah berdepan situasi sedemikian, seorang pemandu van jenazah berkongsi kisahnya apabila diancam kumpulan terbabit kerana menjalankan khidmat secara percuma di Muar, Johor.
BACA LAGI: [VIDEO] Hanya salah faham, van jenazah kena kejar bukan dicuri — Polis Kajang
BACA LAGI: Kartel jenazah masih berkuasa, mufti cadang sistem wakaf banteras kaut untung fardu kifayah
Jelas Abu Samad, 35, sudah beberapa kali dia dipanggil kumpulan kartel terbabit yang rata-ratanya menuduhnya sengaja menutup pintu rezeki mereka.
"Saya berapa kali dipanggil dan dituduh tutup periuk nasi mereka sebab tak ramai yang pergi dapatkan khidmat mereka sedangkan saya jalankan ia secara ikhlas.
"Mereka paksa saya cabut pelekat percuma pada van dan suruh batalkan niat amal jariah yang saya lakukan.
"Persatuan saya, Kumpulan Van Jenazah Percuma (KVJP) memang tiada niat lain selain menjalankan fardu kifayah, memudahkan urusan pengebumian di sekitar Muar sebab sini tak ramai yang berkemampuan nak bayar mereka," katanya kepada Majoriti.
Sebahagian daripada ahli Kumpulan Van Jenazah Percuma (KVJP) sedang membuat persiapan mandi jenazah.
Tambahnya, kesemua kartel berkenaan mengenakan cas bayaran tinggi bagi setiap urusan pengebumian.
"Mereka telan kos mahal sangat sampai RM700 untuk mandi dan kafankan jenazah sahaja, itu belum termasuk kos turunkan jenazah dan gali kubur lagi, mungkin boleh cecah ribuan ringgit.
"Ramai orang susah dan tak berkemampuan nak bayar apatah lagi dalam keadaan bersedih, mereka dianiaya dan terpaksa keluarkan duit ribuan ringgit untuk urusan jenazah sedangkan ia tidak semahal itu.
"Kartel ini semua ada kaitannya dengan pihak tertentu, ada yang menjaga dan biaya mereka tapi saya tak kisah dan terus membantu masyarakat di sini. Biarlah apa mereka nak kata," tambahnya.
Bercerita lanjut mengenai persatuan ditubuhkan, kebanyakan ahlinya terdiri daripada golongan muda seawal usia 12 tahun.
Jelasnya, kini hampir 20 orang telah menyertai pasukannya dan kesemua mereka tidak menuntut sebarang bayaran, ikhlas membantu memudahkan urusan ramai.
"Lebih kurang 20 orang sudah menyertai kumpulan kami dan kesemuanya muda-muda, usia dari 12 hingga 20 tahun yang sangat berhati mulia, sanggup melakukan kerja-kerja amal tanpa bayaran.
"Di Muar tak banyak pusat pengurusan jenazah jadi ramai yang terdesak kalau ditimpa musibah, Insya-ALLAH kami akan terus bantu mereka yang memerlukan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram