Bangga Malaysia tema Keretapi Sarong 2024, alu-alukan penyertaan OKU, warga emas


Keretapi Sarong mendapat sambutan luar biasa tahun lalu.

PASTINYA rakyat Malaysia ternanti-nanti acara popular di Malaysia, apa lagi kalau bukan Keretapi Sarong 2024 memandangkan sambutan Hari Malaysia bakal diraikan tidak lama lagi.

Program sebegini mendorong peserta yang terdiri daripada masyarakat berbilang bangsa untuk mengenakan kain sarung sebagai simbol budaya dan identiti masyarakat di Malaysia.

Acara ini biasanya diadakan pada Hari Malaysia dengan penyertaan rakyat berbilang bangsa menaiki pengangkutan awam, terutamanya kereta api, Mass Rapid Transit (MRT) atau LRT.

BACA LAGI: Acara unik 'Keretapi Sarong 2023' kembali lagi sempena Hari Malaysia

BACA LAGI: 'Karya pernah kena tolak, dikritik tak cukup lawak', Imuda pegang prinsip kerja tetap kena jalan

WhatsApp Image 2024-08-12 at 8.07.55 PM

Adam Faizal berharap program Keretapi Sarong 2024 disertai lebih ramai masyarakat berbilang kaum.

Kejayaan mengumpulkan ribuan masyarakat untuk memeriahkan program melibatkan enam stesen tren di Lembah Klang sebelum ini, usaha tetap diteruskan kali ini untuk memastikan acara sama terus mendapat sambutan hebat.

Salah seorang watak penting di belakang tabir pertubuhan bukan kerajaan, LOCCO selaku penganjur acara Keretapi Sarong 2024 adalah Eksekutif Pengurusan Projek dan Kandungannya, Adam Faizal yang aktif dalam penganjuran acara ini sejak 2018 sehingga kini.

Adam berkata, lebih 10,000 individu menyertai acara itu tahun lepas dan pihaknya menjangkakan jumlah itu berlipat ganda kali ini bagi memeriahkan suasana sepanjang acara seharian yang dipenuhi dengan persembahan tarian tradisional, muzik dan seni penceritaan.

Selepas mampu mengadakan program berkenaan dengan jayanya, Adam berharap program flash mob Keretapi Sarong 2024 (KS2024) lebih meriah pada tahun ini.

"Tahun lepas temanya Etnik, manakala kali ini kami memilih Bangga Malaysia sebagai tema.

"Kita jangka gerabak akan sesak seperti tahun sebelum ini, jadinya kali ini lebih banyak stesen terlibat seperti Subang Jaya (LRT); Gombak(LRT); Putrajaya Sentral; KL Sentral (LRT/MRT/KTM); Kajang (MRT); Ampang (LRT); UPM (MRT); TTDI (MRT) dan Sri Damansara Sentral (MRT)," katanya kepada Majoriti.

Annual flash mob Keretapi Sarong aims to instill the spirit of unity among Malaysians. Photo: Locco

Acara Keretapi Sarong 2023 mendapat sambutan hangat.

Lebih istimewa, Adam berkata, pihak pengurusan program ini menitikberatkan semua pihak terutama golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) dan warga emas yang berminat turut serta.

"LOCCO ada bekerjasama dengan pihak pengurusan tren untuk pastikan keselamatan peserta dalam kalangan OKU, ibu mengandung dan warga emas di setiap laluan terjamin," katanya.

Disebalik kejayaan menghasilkan program berkenaan, pastinya ada cabaran yang dihadapi bagi membolehkan sambutan Hari Malaysia itu lancar.

Adam Faizal mengakui tidak semudah itu untuk membolehkan acara sedemikian berjaya terutama apabila melibatkan ribuan orang awam.

"Kadang-kadang kami tak jangka sesuatu hal boleh berlaku sebab yang sertainya beribu-ribu orang.

"Contohnya tahun lepas, secara tiba-tiba pada hari sama ada Himpunan Selamatkan Malaysia. Apabila ada aktiviti melibatkan politik pada hari sama, ia mengganggu acara ini walaupun telah dirancang sebaiknya," katanya.

Bijak menyelesaikan masalah, Adam berkata, pihak pengurusan bertindak membuat laporan polis sebagai langkah awal bagi mengelak sebarang kekecohan berlaku.

Tidak hanya itu, antara cabaran bagi mengusahakan program ini apabila ia disalahertikan oleh segelintir pihak yang mengeluarkan komen negatif di media sosial.

"Ada orang cakap aktiviti ini liberal kerana ada yang berani datang dengan berpakaian tidak menentu.

"Sebenarnya, itu sesuatu yang di luar jangkaan kerana acara umum dan kami hanya mempromosikan perkara baik saja, tanpa sebarang agenda lain," katanya.

Malah, Adam berkata, dalam acara itu, mereka turut menerapkan unsur pendidikan bagi memberi ilmu bermanfaat buat pengunjung.

"Di setiap stesen lain perkara yang diketengahkan, ia mengikut persetujuan serta kerjasama persatuan tertentu.

"Ada yang ajar tentang cara menggunakan kain sarung yang betul. Ada perkara yang boleh dipraktikkan," katanya.

Meskipun pernah menerima kritikan, mereka tetap tidak patah semangat untuk meneruskan program berkenaan kerana mahu terus mempertahankan sarung sebagai lambang perpaduan.

Malahan, acara itu juga dapat mempamerkan Malaysia sebagai negara berbilang budaya bukan hanya untuk pelancong tetapi penduduk tempatan.

Selain itu, ia juga bagi mencapai objektif menggalakkan penggunaan pengangkutan awam dan meraikan perpaduan sempena Hari Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram