SEORANG bayi dilaporkan meninggal dunia sementara enam yang lain mengalami kecederaan serius selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda dan kenderaan utiliti sukan (SUV) di Kinabatangan, Sabah pada Rabu.
Bayi berkenaan disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan sementara yang lain difahamkan cedera di beberapa anggota dalam kemalangan yang berlaku sekitar Jalan Kampung Paris 2, Kota Kinabatangan.
Pegawai dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah dalam kenyataan berkata, identiti bayi berkenaan masih belum dikenal pasti, namun mereka yang cedera ialah Mohd Juazri Jufri, Jamdeh Jalehani, Roziana Aliskal, Ranizah Aliskal, Aliskal Basara dan seorang lelaki tidak diketahui identitinya.
BACA LAGI: Sehari tak pulang rumah, wanita tua ditemukan mati tersangkut pukat sendiri di Kinabatangan
BACA LAGI: [VIDEO] Elak jalan berlubang, budak 4 tahun maut nahas lima kenderaan di Kinabatangan
Impak daripada pelanggaran itu menyebabkan kesemua tujuh mangsa dalam SUV terperangkap di dalam kenderaan sementara pemandu kenderaan pacuan empat roda hanya mengalami kecederaan kecil.
Jabatan bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.38 pagi dan tiba di lokasi kurang dari sejam dengan alat khas terpaksa digunakan untuk menyelamatkan mangsa yang kemudiannya dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Sementara itu, bayi yang meninggal dunia sudah diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut dengan operasi menyelamat tamat pada kira-kira pukul 4 pagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram