
PENGUNJUNG khususnya pelancong dinasihatkan supaya tidak menyelinap masuk ke kawasan milik kerajaan atau peribadi tanpa kebenaran meskipun ia merupakan antara tempat menarik untuk dilawati.
Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata, tindakan menceroboh itu kebanyakannya menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan pengunjung.
Loh berkata, Bukit Batu Kapur, Kampar, Perak antara tarikan pengunjung yang mendapat perhatian di media sosial.
BACA LAGI: Hanya lambat 54 saat, ECRL dan HSR boleh contohi sistem kereta api di Jepun
BACA LAGI: Murid, ibu bapa SK Danau Kota 2 kini rasa lebih selamat dari risiko kemalangan
Pemilik tanah dinasihatkan menetapkan ciri-ciri keselamatan di kawasan itu. — Facebook/ASEAN Skyline
Bukit Batu Kapur dikelilingi dengan pembentukan batu semula jadi terdiri daripada batu-batu granit besar yang terhakis dari semasa ke semasa.
Kawasan itu bagaimanapun terletak di tanah peribadi dan tidak dibuka kepada orang awam.
Menurut Loh, masih ramai lagi yang berkeras untuk melawat tempat tersebut meskipun lokasinya membahayakan keselamatan mereka.
"Kami bimbang keselamatan mereka. Kami menasihatkan orang ramai untuk mendapatkan kebenaran daripada pemilik tanah, sama ada entiti kerajaan atau swasta, sebelum melawat.
"Pemilik tanah sudah dinasihatkan supaya memastikan langkah keselamatan dilaksanakan sebelum membuka premis mereka kepada orang ramai.
"Mereka juga perlu bekerjasama dengan jabatan kerajaan masing-masing untuk mendapatkan nasihat berkenaan langkah keselamatan itu," katanya.
Loh Sze Yee
Loh pada masa sama berkata, pemilik tanah turut dinasihatkan untuk memasang papan tanda amaran kepada orang ramai supaya tidak menceroboh tanah mereka.
Sementara itu, Loh memaklumkan bahawa pihaknya sedang bekerjasama dengan beberapa jabatan kerajaan lain bagi membincangkan rancangan memastikan keselamatan lokasi itu untuk dibuka kepada pengunjung.
"Pemilik tanah bersetuju mengambil langkah keselamatan diperlukan sebelum ia dibuka kepada orang ramai.
"Ia kerana, mereka menyasarkan untuk menjadikan kawasan tersebut mudah diakses oleh pengunjung menjelang akhir 2024," katanya. — The Star/IVAN LOH
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram