[VIDEO] Elak jalan berlubang, budak 4 tahun maut nahas lima kenderaan di Kinabatangan


  • 112
  • Sabtu, 27 Jan 2024

Tangkap layar insiden kemalangan mengorbankan seorang kanak-kanak perempuan di Kampung Paris 1, Kinabatangan, Sabah pada Sabtu.

SEORANG budak perempuan berusia 4 tahun maut manakala lima cedera akibat kemalangan membabitkan lima buah kenderaan di Kampung Paris 1, Kinabatangan, Sabah pada Sabtu.

Hasil siasatan polis mengesahkan, kanak-kanak malang terbabit terkorban selepas kenderaan dinaikinya dirempuh sebuah bas ekspres dalam kejadian terbabit.

BACA LAGI: [VIDEO] Lelaki mengaku solat zuhur lebih 12 rakaat, mufti minta jangan kecam, perjelas fahaman Mazhab Hanafi

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan Dzulbaharin Ismail dilaporkan berkata, hasil siasatan mendapati sebelum kemalangan maut itu berlaku terdapat satu lagi kemalangan awal membabitkan dua buah lori.

Menurutnya, kemalangan awal berkenaan disebabkan kenderaan terbabit cuba mengelak jalan berlubang dan tidak rata.

"Kemalangan itu menyebabkan kenderaan dinaiki mangsa iaitu Proton Iswara dan sebuah lori tiga tan menghentikan kenderaan mereka.

"Tiba-tiba bas ekspres yang datang dari arah yang sama tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian belakang kenderaan dinaiki mangsa.

"Pelanggaran itu menyebabkan kenderaan dinaiki kanak-kanak itu menggelongsor ke hadapan lalu melanggar bahagian belakang lori tiga tan," katanya.

BACA LAGI: [VIDEO] Peniaga tempatan mengaku warga asing buat masalah, PGA patut lebih awal serbu mini Dhaka'

Akibat kemalangan itu, pemandu Proton Iswara cedera ringan dan seorang penumpangnya iaitu kanak-kanak terbabit disahkan meninggal dunia.

Pemandu lori tiga tan, pemandu bas bersama seorang konduktor serta 29 orang penumpang begitupun tidak mengalami kecederaan.

Justeru, polis menahan pemandu bas berkenaan kerana memandu secara merbahaya sehingga menyebabkan kematian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram