TIDAK dinafikan, banyak pasangan suami isteri yang memilih untuk membelikan anak kecil mereka pejalan kaki bayi (baby walker) sebagai satu kaedah untuk melatih mereka dari fasa peralihan merangkak ke bertatih.
Banyak ibu bapa menganggap baby walker adalah alat yang memberi manfaat untuk membantu bayi belajar berjalan, tetapi adakah anda tahu bahawa banyak negara maju, termasuk Kanada telah mengharamkan penggunaan baby walker?
Tidak hanya itu, Akademi Pediatrik Amerika Syarikat (AAP) juga melarang penggunaan pejalan kaki bayi, meskipun penjualannya masih kekal di pasaran hingga kini.
BACA LAGI: Pakar UMS-HQE2 berjaya bedah otak warga emas secara sedar di Kota Kinabalu
BACA LAGI: Bersediakah anak-anak ‘delay’ mulakan persekolahan?
Persoalannya, kenapa alat yang kelihatan membantu ini diharamkan di sesetengah negara?
Sebenarnya, baby walker sama sekali tidak membantu mengajar bayi anda kemahiran untuk berjalan.
Seorang pendidik keselamatan bayi dan kanak-kanak kecil, Holly Choi berkata, baby walker adalah produk yang berbeza dan mempunyai risiko khusus.
"Baby walker adalah tempat duduk bayi yang bergantung sepenuhnya pada roda atau kastor yang boleh digerakkan oleh bayi sendiri dengan menggunakan kaki mereka dalam keadaan duduk ataupun berjalan tanpa bantuan orang lain.
"Baby walker membolehkan kaki kanak-kanak bersentuhan dengan lantai dan mendorong mereka jatuh ke lantai," katanya.
Baby walker bergantung sepenuhnya pada roda atau kastor yang boleh digerakkan oleh bayi sendiri.
Larangan AAP terhadap penggunaan alat itu kerana mereka percaya ia boleh menyebabkan kecederaan serius pada kanak-kanak.
"Pada masa kini, ibu bapa yang menggunakan baby walker untuk membantu anak mereka berjalan semakin kurang.
"Tetapi sewaktu penggunaannya popular pada tahun-tahun sebelum ini, kes kemasukan di unit kecemasan bagi kanak-kanak berusia bawah 15 bulan adalah suatu kebiasaan di hospital," katanya.
Buktinya, kajian yang diterbitkan dalam jurnal perubatan, Pediatrics menganggarkan sebanyak 230,676 kanak-kanak di bawah umur 15 bulan dikejarkan ke unit kecemasan antara 1990 dan 2014 kerana kecederaan akibat penggunaan baby walker.
Daripada jumlah ini, lebih 90 peratus melibatkan kecederaan di bahagian kepala dan leher.
Segelintir ibu bapa mungkin berpendapat penggunaannya tidak salah selagi anak kecil dipantau sewaktu menggunakannya.
Bagaimanapun, AAP menjelaskan bahawa kemalangan yang melibatkan penggunaan baby walker boleh berlaku dalam masa beberapa saat dengan majoriti kes yang terjadi sewaktu anak-anak sedang diperhatikan oleh ibu bapa atau penjaga mereka.
Kerap kali, kejadian yang berlaku membabitkan penggunaan baby walker terjadi sebelum ibu bapa dan penjaga berpeluang bertindak.
Baby walker bukan alat yang terbaik untuk membantu bayi belajar berjalan.
Terdapat tiga kes yang kerap berlaku disebabkan penggunaan baby walker:
1) Jatuh
Mengikut kajian dalam Pediatrics, lebih 74 peratus kecederaan disebabkan terjatuh dari tangga.
"Seorang kanak-kanak dalam baby walker boleh bergerak dengan cepat.
"Mereka mungkin terjatuh tangga atau terlanggar sesuatu sebelum ibu bapa mahu menghalangnya," kata pakar pediatrik, Dr Loretta Cody.
Dr Loretta berkata, kesan terjatuh itu mengundang pelbagai jenis kecederaan ketara termasuk di kepala dan patah tulang.
2) Terbakar
Semasa menggunakan pejalan kaki bayi, anak kecil boleh sampai ke tempat yang biasanya mereka tidak dapat capai dengan pantas.
Ini boleh meningkatkan peluang untuk mendekati sesuatu barangan yang cukup panas sehingga terbakar.
Antaranya seperti makanan panas, radiator, pemegang dapur dan pemanas ruang, soket elektrik dan lain-lain.
'Activity center' 3 dalam 1 lebih baik untuk digunakan bagi anak kecil.
Dr Loretta berkata, apabila bayi menggunakan baby walker, mereka berada pada kedudukan lebih tinggi dan tangan mereka boleh mencapai sesuatu yang mungkin berbahaya buat mereka.
"Sebagai contoh, mereka mungkin menarik alas meja dan sesuatu di atas meja mungkin jatuh ke atas mereka.
"Jika di meja ada kopi panas, mereka boleh melecur," katanya.
3) Lemas
Isu lemas juga satu perkara yang menjadi perhatian apabila kanak-kanak menggunakan baby walker.
Ini kerana, kanak-kanak dengan mudah bergerak ke arah sesuatu kawasan yang berair seperti kolam renang, tab mandi ataupun tandas.
Pakar Pediatrik dan Pengarah Perubatan Eksekutif di GoodRx, Dr Preeti Parikh berkata, hanya dengan mencapai ke arah sesuatu mereka mudah terjatuh.
"Bayi boleh terjatuh ke dalam kolam atau tab mandi dengan capai benda tersebut," katanya.
Alternatif kepada Baby Walker
Terdapat peranti yang lebih selamat di luar sana untuk membolehkan anak-anak melatih berjalan.
1. 'Activity center' 3 dalam 1
Menurut Dr Preeti, bagi menggantikan baby walker, anak kecil boleh menggunakan activity center 3 dalam 1.
"Activitiy center ini tidak mempunyai roda dan memiliki keunikan untuk memudahkan anak kecil berpusing, selain memudahkan anak kecil untuk berdiri," katanya.
Activity center juga biasanya memiliki visual yang menyeronokkan, elemen pencahayaan, butang untuk ditekan, lagu dan banyak lagi kemudahan yang dilengkapkan di dalam alat berkenaan.
Kandang bayi merupakan satu barangan yang selamat untuk digunakan.
2. Kandang bayi (playpen & crib)
Jika ingin memastikan anak anda berada di tempat yang selamat, kaedah penggunaan kandang bayi adalah barangan yang disyorkan, kata Dr Preeti.
Anda juga boleh menggunakan baby play dividers untuk menyekat sesuatu kawasan di dalam rumah agar anak kecil boleh bergerak dengan selamat.
Jika anak kecil sudah cukup umur untuk berjalan, pastikan anda mengeluarkan barangan yang tidak selamat daripada kawasan yang mudah dicapai agar anak kecil boleh bergerak tanpa bahaya.
3. Push walker
Daripada meletakkan anak anda di tempat duduk bayi yang menggunakan roda, ibu bapa mungkin perlu menitikberatkan tentang penggunaan push walker.
Ini kerana, push walker membolehkan anak anda memegang sesuatu semasa mereka berjalan.
Jika matlamat pengasuh adalah untuk menggalakkan berjalan, push walker adalah alat bantu untuk berdiri tanpa tempat berdiri, sekaligus, mengurangkan risiko kanak-kanak bergerak dengan pantas. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram