Sehari tak pulang rumah, wanita tua ditemukan mati tersangkut pukat sendiri di Kinabatangan


  • 112
  • Ahad, 04 Feb 2024

Operasi menyelamat mangsa, Mohd Syaiful Romeo, 18, yang akhirnya ditemukan lemas di Air Terjun Sepagaya, Lahad Datu pada Ahad. — Bomba Lahad Datu

SEORANG wanita warga emas di daerah Kinabatangan, Sabah yang tidak pulang selepas keluar memancing pada Sabtu akhirnya ditemui maut terperangkap dalam pukat sendiri sehari kemudian.

Ria Tagunggu, 75, yang dikatakan keluar rumah di Kampung Sinar Jaya untuk memancing pada Sabtu gagal pulang ke rumah, kata Ketua Balai Bomba Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jamaluddin pada Ahad.

Beliau berkata, mayat mangsa ditemui tersangkut pada pukat sekitar jam 12.30 tengahari pada Ahad.

"Kami menerima panggilan untuk mengeluarkan mayat yang tersangkut dalam pukat untuk keluar dari sungai. Tidak jelas apa yang berlaku tetapi tiada tanda awal kecederaan atau serangan haiwan ke atas mangsa," katanya ketika dihubungi.

Nurul berkata, mayat itu dikeluarkan dari jaring dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Operasi ditamatkan pada pukul 1.38 petang.

BACA LAGI: 'Penat ulang nasihat sama', Ketua Pengarah DBP turun padang gegar 'Library' Bangi

425589445_691976883017252_1534093301133987627_n

Operasi menyelamat mangsa di Air Terjun Sepagaya — Facebook Balai Bomba Lahad Datu

BACA LAGI: [VIDEO] Mayat disangka pengsan ditemukan dalam longkang tak berair di Kota Bharu

Sementara itu di Lahad Datu, seorang remaja lemas ketika berenang bersama rakan di Air Terjun Sepagaya pada Ahad.

Mangsa, Mohd Syaiful Romeo, 18, lemas pada pukul 10.30 pagi, kata Ketua Balai Bomba Lahad Datu, Sumsoa Rashid ketika dihubungi.

"Operasi mencari mangsa itu melibatkan agensi seperti polis, Jabatan Perhutanan dan Kementerian Kesihatan dan mayat akhirnya ditemui kira-kira pada pukul 1 petang," katanya.

Sumsoa berkata, mayat mangsa diambil di kawasan air terjun dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Beliau menasihatkan supaya ibu bapa sentiasa berwaspada dengan aktiviti anak-anak dan juga mengingatkan orang ramai supaya menghentikan sementara semua aktiviti berkaitan air termasuk memancing pada musim hujan ini.

Beliau berkata, dua lagi kanak-kanak lemas semasa berenang di Kampung Tabanak pada 2 Februari, juga di Lahad Datu dan ini boleh dielakkan jika semua pihak lebih berhati-hati dan berwaspada. — The Star/STEPHANIE LEE

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram