MARTABAT seni negara perlu diangkat dan ditonjolkan di mata dunia selari dengan industri penting lain.
Demikian semangat yang ada pada seorang pelukis amatur, Rosli Mohd Nordin, 47, untuk melihat seni lukisan Malaysia di peringkat global.
Kecewa dengan nasib pelukis tempatan, Rosli mengambil langkah menjadi wakil demi membawa perubahan baharu buat industri itu.
BACA LAGI: 'Semoga dia miliki galeri seni sendiri', ibu Zarra tak lokek 'melabur' demi minat mendalam anaknya
Rosli juga merupakan pengajar dan sifu pelukis cilik, Zarra Maisarrah.
Anak kelahiran Perak itu berkata, masih ramai anak-anak seni di Malaysia tidak dapat akses mahupun pendedahan luas tentang seni lukisan.
Baginya, seni di negara ini masih jauh ketinggalan tidak sama seperti di negara Eropah yang meletakkan kepentingan dan keutamaan kepada industri tersebut.
"Apa saya lihat sekarang adalah seni kita di Malaysia masih berada di bawah. Selain itu, rakyat dan kerajaan kita tidak melihat seni ini satu elemen yang boleh membangunkan peradaban dan menyumbang kepada ekonomi negara.
"Boleh lihat pada Balai Seni Negara di Kuala Lumpur pun sangat suram dan tidak dapat sambutan hangat," katanya kepada Majoriti.
Pelukis dengan lebih 10 tahun berpengalaman itu berkata, pengangkutan awam juga merupakan elemen penting bagi menggalakkan orang ramai mengunjungi mana-mana balai seni.
Menurutnya, stesen Transit Aliran Massa (MRT) berhampiran Balai Seni Negara antara inisiatif yang bagus namun, kemudahan itu juga harus diperbanyakkan di beberapa kawasan tarikan lain.
Cara negara Eropah promosi seni lukisan
Lukisan Mona Lisa di Paris dikunjungi ramai pengunjung. — Agensi
Katanya lagi, premis-premis di negara Eropah bijak menggunakan strategi untuk memprosikan hasil seni lukisan mereka.
Antara cara yang dilakukan adalah meletakkan lukisan di setiap produk jualan dan sebagai hiasan premis sekali gus dapat menarik perhatian pengunjung untuk membeli lukisan.
Anak ketujuh daripada sembilan itu berkata, ia satu langkah perlu dimulakan terutamanya di khususnya premis cenderamata di Malaysia.
"Hasil-hasil seni yang dijual di kedai cenderamata di luar negara juga dijual dengan kerap dan sangat menguntungkan ekonomi mereka.
"Ambil contoh di Amsterdam, Belanda, semua orang termasuk pelancong berpusu-pusu dan sanggup beratur untuk lihat lukisan Tango.
"Bukan itu sahaja, ia secara tidak langsung menarik ramai pelancong untuk datang melihat seni lukisan," katanya.
Rosli turut menjelaskan bahawa industri seni sememangnya dapat menyumbang kepada ekonomi negara melalui pelbagai sumber terutamanya daripada pelancong.
Katanya, wang dilabur pada penginapan, pengangkutan, yuran kemasukan ke balai seni, pembelian lukisan sebagai cenderamata antara sumber yang boleh menjana pendapatan.
Menurut Rosli, ia tidak mustahil dapat dilakukan di Malaysia kerana mengamati seni lukisan antara aktiviti digemari ramai.
"Jika kita perhatikan, tiada siapa yang tidak suka lihat lukisan. Orang buta seni pun akan pergi ke muzium seni di Paris, Perancis atau Amsterdam semata-mata mahu lihat lukisan mereka.
Inisiatif Rosli
Bengkel seni secara santai yang dilakukan di perkarangan rumah Rosli (tengah).
Melihat perkara itu maju ke hadapan, Rosli mengambil beberapa inisiatif untuk membuka peluang lebih banyak kepada para peminat seni lukis di Malaysia.
Antara usahanya adalah dengan membuka bengkel seni kecil-kecilan di rumahnya Petaling Jaya, Selangor.
Lebih istimewa apabila bengkel itu menyediakan kelengkapan dan kemudahan buat setiap peserta yang belajar seni dengannya.
"Siapa yang datang bengkel hanya bawa badan sahaja, kelengkapan semua saya sediakan dan hasil lukisan mereka juga saya akan uruskan.
"Saya selesaikan step terakhir untuk lukisan yang dihasilkan dan hantar di rumah mereka selepas selesai sesi di bengkel," katanya.
Selain itu, Rosli juga dalam proses berjumpa dengan agensi-agensi perhubungan awam dalam membuat kerjasama dengan beberapa syarikat untuk mengembangkan lagi bengkel seninya.
Rosli pada masa sama menyimpan impian membuka galeri seni sendiri berkosep terbuka iaitu di kawasan rumahnya kelak.
Berkongsi lagi, Rosli mengambil pendekatan itu supaya dapat melihat cara penerimaan orang ramai terhadap seni.
"Saya rancang untuk buka galeri seni berjudul Pameran Lukisan Di Bawah Pokok dan gantung hasil lukisan saya di pokok-pokok kerana kawasan rumah saya dikelilingi banyak pokok.
"Saya tak mahu buat dalam bangunan sebab itu semua menggunakan kos yang banyak dan jiran-jiran juga sangat menyokong usaha ini.
"Mereka tahu saya buat perkara positif dan tidak mengganggu mana-mana individu lain," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram