Murid, ibu bapa SK Danau Kota 2 kini rasa lebih selamat dari risiko kemalangan


  • Massa
  • Sabtu, 10 Ogos 2024

Projek kerjasama beberapa NGO dan DBKL bagi mewujudkan zon selamat untuk pejalan kaki di kawasan sekolah.

IBU BAPA murid Sekolah Kebangsaan Danau Kota 2, Setapak, Kuala Lumpur kini boleh menarik nafas lega terhadap keselamatan anak mereka selepas usaha beberapa pihak mewujudkan persekitaran selamat daripada bahaya kemalangan jalan raya.

Ini selepas dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Bike Commute Malaysia dan Global Designing Cities Initiative (GDCI) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan syarikat perintis teknologi Blockchain di Malaysia (BCMY) 'membina' laluan baharu yang lebih selamat untuk murid-murid sekolah berkenaan.

BCMY ialah NGO akar umbi terdiri daripada penunggang basikal dan penduduk bandar yang menyokong reka bentuk jalan selamat di seluruh Malaysia.

Dengan penglibatan 30 sukarelawan, laluan pejalan kaki di sekitar kawasan sekolah berkenaan dapat disiapkan pada Februari lalu, sekali gus memberi impak besar khususnya terhadap pelajarnya.

Objektif pembinaan laluan itu bukan sekadar memberi laluan yang selamat kepada penggunanya tetapi dengan misi mengurangkan had laju kenderaan yang melalui kawasan tersebut.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Ada terpaksa guna tisu dan kain', Nurafirah mahu bantu wanita B40 keluar dari kemiskinan haid, ditindas lelaki

BACA LAGI: 'Semoga dia miliki galeri seni sendiri', ibu Zarra tak lokek 'melabur' demi minat mendalam anaknya

6174940779030625656

Laluan pejalan kaki di SK Danau Kota 2. — Twitter/fazleyff

Antara usaha dilakukan dalam projek perintis itu termasuk pemasangan penghadang lalu lintas dan mengecat laluan pejalan kaki dengan corak serta warna yang unik, membezakan laluan untuk pejalan kaki dan kenderaan.

Selain meletakkan hiasan warna-warni di sepanjang kaki lima sekolah, mereka juga mengecilkan lorong jalan untuk menyediakan zon menunggu selamat jauh dari pintu pagar buat murid serta ibu bapa.

Bagi mengurangkan risiko kemalangan, mereka juga mengurangkan jarak untuk pejalan kaki melintas jalan iaitu daripada lebar 10.5 meter (m) kepada 5.5m.

Hal ini kerana, lorong yang kerap digunakan penduduk pangsapuri berhampiran kawasan itu dipenuhi dengan kereta dan menyukarkan murid dan pengguna jalan raya lain.

6174940779030625657

Laluan yang lebih selamat untuk murid sekolah berjalan kaki atau menunggang basikal. — Instagram/bikecommute

Selain itu, langkah mengurangkan trafik itu pada masa sama dilihat dapat menurunkan purata kelajuan kenderaan kepada 15 kilometer sejam (km/j) selaras dengan cadangan garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan Jabatan Kerja Raya (JKR) sebelum ini.

Pada Julai lalu, kerajaan mengumumkan bahawa had laju di zon sekolah akan dikurangkan daripada 40 km/j kepada 30 km/j tidak lama lagi susulan jumlah kes kemalangan jalan raya sebanyak 322 pada 2023 yang membabitkan kecederaan dan kematian.

Antara faktor lainnya adalah bagi memberi lebih banyak masa kepada pemandu untuk bersedia terhadap tindakan di luar jangkaan oleh kanak-kanak di jalan raya.

Wakil perhubungan tempatan GDCI, Justin Lee berkata, pihaknya memerlukan pendekatan kolektif untuk melaksanakan usaha itu memandangkan pembaharuan itu masih sedang diuji dan diteliti.

Menurutnya, ia merupakan satu perkara luar biasa kerana dapat bekerjasama dengan sekolah yang sangat menyokongnya dalam mengenal pasti geometri terbaik dalam mewujudkan persekitaran jalan lebih selamat di kawasan sekolah.

Manakala, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah terbabit, Dr Khairul Awang menghargai dan memuji tindakan tersebut kerana memberi pelbagai manfaat kepada sekolah dan masyarakat.

6174940779030625654

Laluan yang memberi manfaat kepada masyarakat lain selain pelajar sekolah. — Instagram/bikecommute

Sementara itu, projek transformasi jalan sekolah di Setapak itu juga dipiih DBKL disebabkan lokasinya yang berada di kawasan bandar dan berkepadatan tinggi dengan jumlah pelajar lebih 70 peratus berulang-alik dari rumah sejauh 3km ke sekolah.

Bukan itu sahaja, sebanyak 35 dan 26 peratus daripada kanak-kanak di sekolah rendah dan menengah berjalan kaki ke sekolah, sekali gus terdedah kepada risiko kemalangan jalan raya.

Mengimbas kembali tercetusnya inisiatit tersebur, pihak sekolah, komuniti dan DBKL sudah memulakan perbincangan pada tahun lalu lagi iaitu antara Julai dan Disember 2023 bagi memilih reka bentuk yang sesuai.

Dalam tempoh itu, DBKL bertindak melaksanakan dua reka bentuk percubaan di pintu masuk tepi sekolah rendah dengan menggunakan kapur, kon, penghadang lalu lintas dan cat bagi mengubah suai sementara jalan.

Berdasarkan perkembangan terkini, BCMY memaklumkan bahawa projek tersebut menunjukkan perkembangan positif apabila semakin ramai pelajar dan orang awam lebih memilih untuk berjalan.

Kemungkinan besar faktor tersebut disebabkan murid dan ibu bapa berasa lebih selamat dengan inisiatif yang dilaksanakan, dan projek ini seharusnya diperluaskan lagi ke sekolah lain di seluruh negara terutamanya di kawasan yang berisiko tinggi. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram