KEJAYAAN tidak datang bergolek, malah memerlukan titik peluh usaha yang berterusan demi menggapai impian dan matlamat hidup
Umur juga bukanlah satu penghalang untuk seseorang itu membuktikan kemampuan diri di peringkat lebih tinggi.
Mula membuka mata dunia, seorang pelajar Politeknik Muadzam Shah, Pahang menjadi antara wakil Malaysia dalam menempah nama di peringkat global.
BACA LAGI: Hanya lambat 54 saat, ECRL dan HSR boleh contohi sistem kereta api di Jepun
Izzul Zafran berjaya menewaskan 47 peserta daripada 40 negara dalam pertandingan. — Facebook/Izzul
Pelajar semester 5 Diploma Rekabentuk Grafik, Jabatan Rekabentuk dan Komunikasi Visual (JRKV), Izzul Zafran Abd Razak muncul sebagai pemenang dalam pertandingan Adobe Certified Professional World Championship 2024 di California, Amerika Syarikat pada Mei lalu.
Pelajar berusia 20 tahun pada waktu itu berjaya menewaskan 47 peserta daripada 40 negara dan membawa pulang wang tunai sejumlah RM36,170, sijil, medal dan trofi.
Kemenangannya juga didorong oleh bahan yang dihasilkannya iaitu poster berjudul Digital Skills for A Sustainable Future denga menggunakan aplikasi Adobe Creative Cloud dalam pertandingan itu.
Kejayaan tersebut sekali gus meraih perhatian seluruh rakyat Malaysia termasuk Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang mahu menjadikan Izzul sebagai contoh serta perintis muda dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Berkat ilmu pensyarah
Gembira dengan pencapaian Izzul, seorang pensyarah di JRKV Politeknik Muadzam Shah berkongsi coretan tentang kejayaan pelajarnya.
Dia yang menggunakan nama akaun Facebooknya Abang Zam mengharapkan agar Izzul sentiasa mengingati segala pengorbanan dilakukan individu-individu yang menyokongnya.
Dia pada masa sama tidak menyangka bahawa subjek Agama Islam dan Subjek Tasawwuf dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Izzul mendapat gred A meskipun handal ke arah mata pelajaran digital.
“Moga kamu tidak lupa di mana bumi kamu berpijak.
“Ternyata kamu hebat dalam didikan agama dan pastinya ada doa-doa yang membolehkan kamu berjaya di tempat pertama World Champion,” kongsinya.
Izzul menempah nama di peringkat antarabangsa pada usianya 20 tahun. — Facebook/Izzul
Dia dalam pada itu berharap agar kejayaan yang dikecapi Izzul dapat membuka minda dan tanggapan semua pihak terhadap pelajar Politeknik.
Bukan itu sahaja, pensyarah tersebut juga mengharapkan agar Izzul menjadi contoh kepada pelajar-pelajar yang masih berada di Politeknik untuk meneruskan kejayaan cemerlang di mata dunia.
Dalam pada itu, JKRV Politeknik Muadzam Shah mengambil peluang itu untuk memberi kesederan kepada masyarakat terhadap kepentingan ilmu pendidikan.
Peluang itu juga disampaikan dengan video penghargaan berjudul Persepsi bagi memberi motivasi dan keyakinan untuk terus berusaha mencapai kejayaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram