[VIDEO] Beberapa kali kena scam, tikam belakang, Khairillah anggap ujian jadi usahawan perabot


  • Bizz
  • Isnin, 12 Ogos 2024

Ujian yang menimpa Muhammad Khairillah tidak mematahkan semangatnya untuk menguruskan perniagaan miliknya.

BERDEPAN ujian sedikit pun tidak mematahkan semangat Muhammad Khairillah Ismail, 33, untuk meneruskan perniagaan pembuatan perabot kayu yang diusahakan sejak lebih empat tahun lalu.

Ditipu kenalan, pernah mengalami kemalangan pada tahun 2022 hingga tergendala kerja selama tiga bulan, antara momen jatuh bangun yang pernah dirasai oleh anak kelahiran Selangor itu.

Namun bagi Muhammad Khairillah, besar ujian menimpa, besar lagi semangat untuk dirinya meneruskan minat dalam bidang yang diceburi sejak tahun 2018 itu.

BACA LAGI: [VIDEO] Pernah terima 'bungkusan' tongkeng ayam dan rambut, Wan Azmir anggap hanya mainan psikologi takutkan peguam

BACA LAGI: Dari mekanik jadi tauke kopi terkemuka, Muhamad Zamry mahu Richiamo Coffee tembusi pasaran antarabangsa

"Sebelum ini saya bekerja di sebuah syarikat dalam bidang yang sama, namun selepas beberapa tahun, saya memutuskan untuk menubuhkan perniagaan sendiri.

"Atas segala ilmu dan pengalaman yang ditimba saya gunakan sehabis baik untuk mencabar diri menjalani bisnes ini, dengan sokongan keluarga dan rakan," katanya kepada Majoriti.

Bapa kepada dua cahaya mata itu juga mengakui dirinya pernah menerima nasib kurang baik dengan segelintir pihak tidak bertanggungjawab.

WhatsApp Image 2024-08-11 at 20.27.49 (2)

Muhammad Khairillah sedang menyiapkan perabot yang ditempah pelanggan dengan berkonsepkan rekaan arch.

"Saya juga pernah juga melalui pengalaman tidak enak. Misalnya, ada pelanggan yang sudah bayar deposit, tetapi apabila barang dah siap pasang, individu yang sepatutnya bertanggungjawab hilang dan tak dapat nak selesaikan bayaran penuh.

"Namun saya tidak mahu terlalu memikirkannya dan saya hanya anggap ini satu ujian sebagai seorang usahawan," ujarnya sambil menambah bahawa kejadian seperti itu lebih menyebabkan pihaknya mengalami kerugian dari segi masa.

Di sebalik dugaan tersebut, Muhammad Khairillah bersyukur dikurniakan keluarga dan rakan-rakan yang tidak putus-putus memberikan sokongan.

Menjalankan perniagaan sendiri itu tidak mudah, namun dukungan baik dari segi mental mahupun fizikal yang diterimanya menguatkan lagi iltizam lelaki yang pernah bekerja sebagai seorang jurugambar itu.

WhatsApp Image 2024-08-11 at 20.29.26

Muhammad Khairillah menceburi bidang pembuatan perabot kayu sejak tahun 2018.

Dalam pada itu, berkongsi lebih lanjut tentang bisnes pembuatan perabot kayunya yang beroperasi di Taman Medan, Petaling Jaya, Selangor, Pengasas Mighty Wood Studio itu berkata, sambutan diterima agak memberangsangkan, dengan dirinya tidak putus-putus menerima tempahan perabot kayu.

Ditanya tentang trend terkini, jelasnya, permintaan tempahan sejak awal tahun lalu banyak mengetengahkan rekaan perabot berkonsepkan arch.

"Jika diperhatikan sejak tahun lepas, semakin ramai pelanggan saya yang menempah rekaan perabot jenis arch sama ada untuk pintu, kabinet dan sebagainya.

"Mungkin kerana rekaannya yang bukan sahaja cantik tetapi juga moden," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram