PERJALANAN hidup pengasas Sellection, Nor Rafidah Khairuddin,49, cukup menginspirasikan terutamanya buat wanita di luar sana.
Sebelum menongkah arus dengan penubuhan empayar butik miliknya yang berlokasi di Wangsa Melawati, Wangsa Maju Kuala Lumpur, wanita yang mesra disapa Rafidah itu hanya bermula sebagai personal shopper (PS).
Beliau bermula dengan penggunaan medium Facebook Page dengan nama Branded Handbags by Rafidah untuk mengetengahkan perniagaan itu pada 2014, sebelum membuka butik fizikal di Kuala Lumpur pada tahun 2018 dengan menubuhkan jenama Sellection.
Beliau mahu menepis anggapan bahawa jenama mewah hanya untuk golongan tertentu sahaja. — Instagram/maam.rafidah
Bagi dirinya keupayaan membuka butik lebih luas membuktikan kesungguhan beliau mengembangkan sayap perniagaan yang diceburi sejak tahun 2014.
Berpindah ke lokasi berkeluasan tiga kali ganda besar di Wangsa 118, usahawan berjiwa besar itu terus mencorak strategi memenuhi kehendak semasa.
Kongsi Nor Rafidah, pencapaian itu secara tidak langsung mengukuhkan slogan Embracing Confidence meraikan keyakinan dan #impianjadikenyataan dengan merealisasikan impian baik wanita mahupun lelaki untuk memiliki barangan berjenama antarabangsa.
Akuinya, memiliki butik baharu adalah penting dalam perjalanan mengembangkan empayar legasi perniagaan kerana platform itu bertindak sebagai gudang dan pejabat.
"Terima kasih kepada pasukan dan tidak terkecuali pelanggan yang tanpa jemu menyokong jenama ini daripada jualan secara dalam talian hingga memiliki butik fizikal.
"Pencapaian penting ini diharapkan menjadi inspirasi kepada semua usahawan lain. Walaupun bermula dari kecil sesiapa sahaja boleh berjaya jika disusuli keinginan.
"Paling penting jenama Sellection melebarkan pengaruh bukan dalam masa singkat dan menuntut kesungguhan, minat, keazaman serta komitmen tinggi," katanya yang pernah berhijrah ke Montreal, Kanada pada tahun 2014.
Umpama mimpi bertukar realiti. Hasrat anak kelahiran Ipoh, Perak itu untuk membolehkan wanita dan lelaki tanpa mengira status memiliki barangan berjenama yang diborong dari outlet sekitar Amerika Syarikat (AS) kini menjadi realiti.
Akuinya, ramai orang sebelum ini beranggapan bahawa jenama mewah hanya untuk golongan tertentu sahaja.
"Namun kini berlaku sebaliknya, tidak kira sama ada anda wanita bekerjaya, pekerja sektor kerajaan seperti guru atau suri rumah dan peniaga industri kecil dan sederhana (IKS), semua boleh memilikinya," jelasnya.
Usahawan berjiwa besar itu terus mencorak strategi memenuhi kehendak semasa. — Instagram/maam.rafidah
Pelan pembelian ansuran
Sellection.com - Branded Fashion Outlet kini menjadi platform beli-belah dalam talian pilihan utama dan dipercayai ramai di Malaysia.
Lebih menarik, jenama tersebut menyediakan pelan pembayaran ansuran sebanyak tiga kali buat semua pelanggan.
"Lebih banyak peluang dibuka untuk merasai pengalaman bergaya. Hanya bayar deposit pelanggan berpeluang memiliki produk diimpikan di butik ini," akuinya.
Nor Rafidah turut berbangga kerana sejak dua tahun lalu, jenamanya sudah memiliki aplikasi mobil sendiri iaitu Sellection.
Tuturnya, biarpun peratus jualan diraih menerusi dalam talian www. sellection.com adalah lebih tinggi, namun beliau cuba menyeimbangkannya dengan butik fizikal.
"Ada orang nak juga rasa barangan depan mata dan mencuba. Justeru, nak walk-in ke butik amat dialu-alukan.
"Malah, kehadiran aplikasi mobil Sellection dilihat sebagai menyokong kecenderungan pelanggan membeli secara dalam talian.
"Pilihan lain untuk membeli adalah menghubungi Sellection Business Partner yang sah atau #TeamSellection untuk konsultasi," jelasnya.
Tambah anak bongsu daripada tujuh beradik itu, komunikasi dan perkhidmatan hubungan pelanggan menjadi teras dan kunci kekuatan bisnes.
Nor Rafidah ingin merealisasikan impian baik wanita mahupun lelaki untuk memiliki barangan berjenama antarabangsa. — Instagram/maam.rafidah
"Hingga kini di laman sesawang kami menerima sebanyak 6,390 ulasan positif dengan majoritinya meninggalkan komen bahawa mereka berpuas hati dengan produk dan servis yang ditawarkan.
"Kami bukan sekadar menjual barang, tapi kami ingin memberi nilai dengan membantu pelanggan memilih beg tangan yang diingini serta memberikan tip penggayaan bersesuaian dengan personaliti mereka dan acara yang dihadiri ," jelasnya dalam nada teruja.
Bukan hanya itu, Sellection pada September tahun lalu turut melancarkan keluaran tudung bawal dan shawl eksklusif sebagai melengkapkan penggayaan wanita moden dalam usaha meningkatkan keyakinan diri mereka.
Berhijrah
Mengimbau semula permulaan kejayaan Nor Rafidah, beliau memberitahu dirinya mengambil keputusan berhijrah ke Montreal kerana enggan berjauhan dengan suami tercinta, Abdul Hadi Wisman yang bekerja di sana.
Semasa berada di negara Amerika Utara itu, wanita berkenaan berusaha untuk membantu suaminya menambah pendapatan, di samping mengisi masa lapang dan dengan melakukan pelbagai pekerjaan.
Kata beliau, antaranya termasuklah menjadi pembantu dapur dan bekerja di hotel sebagai pekerja pembersihan, walaupun gaji pada ketika itu sekitar AS$10 (RM42) sehari.
Di sana, beliau terdetik untuk mencuba nasib menjual mufin pisang hasil resipi ciptaan sendiri di kafe sekitar Montreal.
"Saya gigih jalan kaki dari satu kafe ke satu kafe di Downtown Montreal untuk memberi tester mufin pisang. Saya dipandang jelek, kena 'reject' dan tidak ada siapa ingin menerima kerana saya Islam dan bertudung.
"Tapi ia tak mematahkan semangat dan saya terus kuat mencari peluang tanpa mengalah.
"Tak sangka hasil duit jualan mufin itu, saya reward diri dengan membeli beg tangan berjenama pertama di Montreal Premium Outlet.
"Kemudian terlintas pula nak jadi personal shopper ambil pesanan dan tempahan daripada rakyat Malaysia. Masa itu niat nak beri peluang mereka yang lain untuk merasa pakai barangan mewah dan berjenama dengan harga mampu milik jenama dari Amerika Syarikat," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram