[VIDEO] Serba kekurangan tak halang Arshad cipta rekod, harumkan nama Pakistan di Olimpik 2024


  • Podium
  • Isnin, 12 Ogos 2024

Arshad Nadeem memanjatkan kesyukuran kerana menggondol pingat emas acara rejam lembing lelaki di samping catatan rekod baharu Olimpik pada Paris 2024. — Agensi

ATLET Pakistan, Arshad Nadeem memenangi emas dalam acara merejam lembing lelaki di Sukan Olimpik Paris 2024 sekali gus menjadi atlet pertama dari negaranya menghadiahkan kilauan pingat dalam temasya terbesar itu.

Dalam acara tersebut, Nadeem melakukan rejaman emas yang juga rekod Olimpik dengan catatan 92.97 meter menewaskan juara bertahan India, Neeraj Chopra yang merangkul pingat perak dan Anderson Peters dari Grenada meraih pingat gangsa.

Menariknya kisah perejam kelahiran Pakistan itu, perjalanannya melakar sejarah di Olimpik bukanlah kerana sokongan institusi tetapi disebabkan kekurangan bantuan diterimanya.

BACA LAGI: [VIDEO] Kelincahan, skil anak kelahiran Sandakan ubati rindu Sang Badak terhadap Saddil

BACA LAGI: Bukan setakat kuatkan otot, guru SMK Kepong kongsi 3 kriteria latih 'ubi muda' sepak takraw

Ketika menyertai perlawanan di Paris, Nadeem dilaporkan tidak mempunyai kewangan yang banyak dengan bapanya, Muhammad Ashraf mengakui orang ramai mengumpulkan dana untuk membolehkan dia menjalani latihan.

Enggan mengecewakan orang ramai yang sudah membantunya dari segi kewangan, Nadeem berjaya membuktikan dengan prestasi luar biasa ditampilkan olehnya di Paris.

Menariknya perjalanan pemenang emas acara tersebut, ketika Nadeem semakin mendapat perhatian, dia memastikan tidak melupakan masalah yang dihadapi oleh penduduk kampungnya itu.

Dengan kejayaan yang diraih olehnya untuk mengharumkan nama Pakistan, Nadeem merayu agar kerajaan negara itu menyediakan beberapa kemudahan asas di kampung halamannya.

Menurutnya, kampungnya kini memerlukan kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan elektrik dan gas selain merayu agar kerajaan Pakistan turut menyediakan universiti dan stadium.

"Kampung saya memerlukan jalan raya dan bekalan elektrik. Jika kerajaan menyediakan kemudahan seperti itu, ia baik untuk saya dan kampung saya.

"Saya juga mempunyai impian bahawa bandar Mian Channu mempunyai universiti supaya adik-adik kita tidak perlu pergi ke Multan yang mengambil masa perjalanan sehingga dua jam untuk sampai ke bandar lain.

"Jika kerajaan membuat universiti, ia akan menjadi berita baik untuk kampung saya," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram