[VIDEO] 'Ada terpaksa guna tisu dan kain', Nurafirah mahu bantu wanita B40 keluar dari kemiskinan haid, ditindas lelaki


  • Massa
  • Jumaat, 09 Ogos 2024

Program komuniti menjadi antara langkah Nurafirah dalam membantu golongan wanita B40.

NIAT murni membantu komuniti merupakan antara jasa dan sumbangan yang boleh diterapkan di dalam setiap individu tanpa mengira kedudukan dan status diri.

Menggunakan kudrat dan kemampuan yang dimiliki, Nurafirah Jaharuddin mengambil pelbagai inisiatif dalam membantu wanita terutamanya daripada golongan kurang berkemampuan (B40).

Memulakan langkah sejak 2019, Nurafirah sering melibatkan diri dalam aktiviti komuniti daripada pelbagai agensi dan badan bukan kerajaan termasuk program TEAM di bawah Komuniti Belia Selangor (SAY) yang dinaungi Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafudin.

BACA LAGI: 'Semoga dia miliki galeri seni sendiri', ibu Zarra tak lokek 'melabur' demi minat mendalam anaknya

BACA LAGI: 'Baru lepas turap terus pacak khemah', MP tegur peniaga punca kekurangan parkir depan klinik di Bangi

6172266204111159035 (1)

Nurafirah (kiri) yang baru menyertai program TEAM selama lima minggu.

Wanita berusia 24 tahun itu juga menyatakan hasratnya untuk kekal aktif dan mampu meneruskan niat murninya menjadi wakil dalam memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan.

Pelajar Ijazah Sarjana Sains Sosial (Strategi dan Diplomasi) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata, fokusnya adalah lebih ke arah wanita yang kurang mendapat kesedaran terutamanya tentang penderaan seksual dan kemiskinan haid.

Katanya, masih ramai kaum wanita B40 tidak sedar dengan kewujudan isu rogol dalam perkahwinan, gangguan kesihatan mental dan keganasan rumah tangga.

"Apa yang saya maksudkan tertindas adalah masih ada pasangan suami isteri yang tidak cakna bahawa wujudnya marital rape.

"Mereka juga anggap ia sebagai perkara normal apabila sentiasa perlu menuruti permintaan suami walaupun dalam keadaan tidak bersedia," katanya kepada Majoriti.

pads-and-tampons_unsplash

Masih ramai wanita B40 tidak berkemampuan membeli tuala wanita. — Gambar hiasan

Bukan itu sahaja, anak bongsu daripada tiga beradik itu turut meluahkan rasa simpatinya terhadap golongan itu selepas melihat situasi mereka ketika tibanya waktu haid.

Tidak jemu berkongsi, Nurafirah menyatakan bahawa kemampuan dan akses mereka untuk membeli tuala wanita sangat rendah tidak kira di bandar atau luar bandar.

Katanya, ada juga keadaan yang memaksa kumpulan terbabit mengehadkan penggunaan tuala wanita setiap hari disebabkan kesempitan hidup.

"Jadi, saya dan masyarakat lain menggalas tanggungjawab ini dengan membantu menyalurkan barang keperluan khas wanita kerana tidak sanggup lagi melihat perkara itu berlarutan.

"Lagi teruk apabila ada yang sehingga terpaksa menggunakan tisu atau kain sebagai lapik kerana tidak cukup duit mahu beli tuala wanita," jelasnya.

6172266204111159036 (1)

Nurafirah (kiri) ketika menghadiri majlis anugerah SAY pada Selasa lalu.

Mahu membuka mata masyarakat tentang kepentingan program komuniti sedemikian, Nurafirah juga menceritakan keadaan seorang ibu kepada dua orang anak yang mempunyai kekangan daripada sudut pengangkutan.

Berkongsi lanjut, Nurafirah berkata, wanita terbabit terpaksa berhenti mendapatkan suntikan mencegah kehamilan yang sepatutnya diterima setiap bulan.

"Bagi saya, ini paling sedih kerana dia terpaksa mengelak mengambil suntikan tersebut kerana tidak boleh memandu, tiada kenderaan lain dan ada kekangan bajet.

"Suaminya bekerja sebagai pengawal keselamatan dan akan dipotong gaji jika hantar isterinya ke klinik," katanya.

Keadaan itu sekali gus membuatkan Nurafirah melihat bahawa terdapat manfaat yang masih tidak dapat dirasai oleh golongan berkenaan.

6172266204111159039

Nurafirah Jaharuddin

Dia pada masa sama tidak semata-mata bergantung terhadap sumbangan orang ramai dan mengambil inisiatif sendiri ketika menyalurkan bantuan.

Katanya, dia dan ahli keluarga turut bersama berganding bahu menggunakan baki wang sendiri untuk membeli barangan keperluan harian seperti makanan, pakaian atau mandian dan disalurkan kepada gelandangan di Chow Kit, Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Nurafirah turut menyimpan hasrat menjadi pemangkin dan wakil wanita bagi menyebarkan lagi kesedaran kepada masyarakat.

"Saya ingin tubuhkan NGO sendiri yang memperjuangkan women empowerment. Tapi, saya akan fokus lebih kepada ceramah, seminar, perundingan dan terapi khusus buat wanita B40 bangkit daripada kesusahan," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram