PENGORBANAN pejuang terdahulu tiada gantinya dengan segala keamanan dan keharmonian dikecapi masa kini merupakan hasil keringat mereka mempertahankan negara daripada pengganas.
Jika dikupas satu per satu kisah peperangan negara, ia boleh mengundang rasa sebak bagi masyarakat masa kini yang terhutang budi atas jasa wira terkorban satu ketika dahulu.
Merupakan bekas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada era 1970-an, Datuk Sahudin Mohamed, 64, mengimbau kembali memori pahit ketika bertugas menentang komunis di Perak.
BACA LAGI: Kelengkapan sistem C4i antara bukti PDRM semakin tangkas, bikin penjenayah 'ketar lutut'
Katanya, kekejaman pengganas komunis sememangnya tidak terkata apabila ada di antara anggotanya dibunuh dengan cara yang sangat kejam.
"Di awal pembabitan saya, ketika itu baru berusia 17 tahun masa menjalani latihan rekrut di Port Dickson, Negeri Sembilan.
"Kemudian, setahun selepas itu ditugaskan menganggotai unit renjer Pahang bagi mengawal kawasan daripada diserang komunis.
"Pernah berdepan serangan hendap daripada musuh ketika di kem latihan Sungai Lenggong, dua pasukan kami diserang secara berasingan. Tujuh maut dan dua cedera dalam kejadian itu," katanya kepada Majoriti.
Sahudin Mohamed merupakan bekas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada era 1970-an.
Tambahnya, keadaan mayat rakan seperjuangannya ditemui dalam keadaan cukup menyayat hati dan pelaku seolah-olah tiada perikemanusiaan.
"Ada yang kemaluannya dipotong dan disumbat dalam mulut, mata dicungkil keluar macam tak ada rupa manusia kalau dilihat.
"Dua rakan saya ditangkap dan diseksa, seorang pecah lutut dan seorang lagi putus tapak kaki.
"Kami terima arahan pukul 12 malam untuk jejak musuh tetapi gagal untuk dikesan, hanya sisa makanan mereka saja dapat ditemui dan berdasarkan siasatan, mereka membawa bekalan dari luar kawasan," tambahnya.
Sahudin dalam pada masa sama menyeru masyarakat agar menghargai setiap keringat dan pengorbanan wira yang berjuang bermati-matian menuntut kebebasan negara.
Tiada ayat yang mampu diungkapkan melainkan rasa syukur atas perlindungan dan kejayaan pasukannya dalam mempertahankan negara dari musuh sepanjang khidmatnya dalam tentera. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram