SEORANG penganggur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor pada Khamis atas pertuduhan menculik dan mengurung kanak-kanak perempuan berusia enam tahun, Albertine Leo Jia Hui secara haram pada bulan lalu.
Tertuduh, Leang Win Son, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Sesyen, Rasidah Ruslee.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang bujang didakwa menculik kanak-kanak itu daripada ibunya di Eko Galleria 3 di Jalan Eko Botani 3/2 di Iskandar Puteri, Johor Bahru kira-kira pukul 8.30 malam pada 20 Julai lalu.
BACA LAGI: Ibu Albertine ucap terima kasih, sudah sedia kembali bekerja
BACA LAGI: Motif penculikan Albertine, Polis Johor temui petunjuk baharu
Rasidah kemudiannya menetapkan ikat jamin RM20,000 dan memerintahkan tertuduh menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.
Beliau juga memerintahkan tertuduh melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali sehingga kes selesai dan tidak mengganggu mana-mana saksi pendakwaan.
Leang dalam pada masa sama turut berdepan enam pertuduhan lain di mahkamah sama di bawah Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Albertine (kiri) bersama ibu bapanya.
Pendakwaan kes itu dikendalikan Pengarah Pendakwaan Johor, Ghafar Ab Latif manakala peguam Ungku Ahmad Hafis Ungku Fathil dan Nur Zafirah Norizan mewakili tertuduh.
Ibu mangsa dan ahli keluarga lain dilihat berada di dalam bilik mahkamah untuk mendengar prosiding dan tertuduh kemudian dibawa ke Mahkamah Majistret Kulai di bawah pengiring polis untuk menghadapi pertuduhan tambahan.
Pada Ahad lalu, Leang ditahan semula berikutan penemuan pelbagai alat permainan seks, bahan lucah dewasa dan bahan penderaan seksual kanak-kanak di kediamannya di Kulai.
Dia ditahan reman bagi membolehkan siasatan lanjut mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan.
Untuk rekod, suspek direman selama 13 hari bermula 23 Julai hingga Isnin (5 Ogos) bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.
Albertine dilaporkan hilang oleh bapanya pada 20 Julai lalu di sebuah pusat beli-belah di Iskandar Puteri sebelum ditemui selamat di sebuah hotel bajet dekat Batang Kali, Selangor pada 23 Julai. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
