Sarjan Saidatul tak sabar, pamer aksi lompatan gelung berapi jika dipanggil beraksi Hari Kebangsaan 2024


  • 112
  • Jumaat, 09 Ogos 2024

Saidatul Husna Kamarudin ketika melakukan persembahan pada Hari Kebangsaan tahun lalu.

PERNAH mencetuskan fenomena pada sambutan Hari Kebangsaan tahun lalu, ahli akrobatik bermotosikal Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Sarjan Saidatul Husna Kamarudin dijangka bakal membuat kemunculan pada edisi kali ini.

Aksi berani ditonjolkan ketika merentas 66 buah motosikal pada sambutan tahun lalu kembali mencuri perhatian apabila masyarakat kembali berkongsi video lagak ngeri itu di laman sosial baru-baru ini.

Berjaya mencipta rekod Malaysian Book of Records (MBOR) bagi kategori Lompatan Motosikal Terpanjang (Wanita), beliau dikhabarkan tidak sabar untuk kembali menggegar Dataran Putrajaya sekiranya diberikan peluang.

BACA LAGI: [VIDEO] Pertunjukan udara di Itali bertukar tragedi, pesawat terhempas ragut nyawa budak perempuan

BACA LAGI: [VIDEO] Bunga api hilang kawalan cemari Hari Kebangsaan AS, penonton cedera

"Saya memang tak sabar untuk buat kemunculan semula, sedia untuk cipta lagi satu sejarah kalau diberi peluang. Saya memang tak akan lepaskan dan pelbagai lagi aksi menarik yang ingin dipersembahkan.

"Memang ada pelawaan diterima untuk beraksi pada sambutan kali ini tetapi ia masih belum dapat dipastikan, jadi saya hanya membuat persediaan dan teruskan latihan seperti biasa.

"Persiapan untuk melakukan aksi akrobatik itu sekurang-kurangnya makan masa hingga dua minggu, itu pun bergantung kepada kehendak pihak jemputan," katanya kepada Majoriti.

20230916_175518_1695022444

Pasukan Army Red Warrior memiliki kepakaran dalam melakukan aksi akrobatik motosikal.

Dalam pada itu, Army Red Warrior merupakan pasukan terlatih di bawah Angkatan Tentera Darat Malaysia dan kerap mengadakan pertunjukan sempena hari kebangsaan.

Jelasnya, terdapat beberapa aksi ekstrem yang boleh dilakukan sekiranya sekali lagi dipanggil membuat persembahan kelak.

"Selain daripada lompatan jauh, pasukan kami juga ada persembahan berkonsepkan formasi bunga raflesia, tugu negara dan merak dan mungkin boleh ditambah baik dengan pelbagai lagi bentuk yang menarik.

"Lompatan dalam gelung api pun boleh dilakukan tetapi lagi cantik kalau persemabahn itu dilakukan pada waktu malam sebab lebih jelas.

"Tunggang motosikal naik tangga setinggi lapan kaki pun antara skil saya, mungkin ramai lagi yang tak tahu Army Red Warrior, tapi kami memang pasukan terlatih dan profesional dalam aksi motosikal," katanya.

Masih bergiat aktif dalam sukan permotoran lasak itu, Saidatul sentiasa bersedia untuk melakukan pertunjukan pada Hari Kebangsaan kelak dengan aksi secara langsung yang lebih menarik dan memukau penonton.

Untuk rekod, ibu kepada seorang cahaya mata itu pernah menjalani pembedahan lutut kiri pada 2012 kerana terjatuh ketika melakukan satu sesi ujian latihan bersama kelabnya.

Akibatnya, beliau terpaksa berehat selama dua tahun selain dilarang daripada melakukan sebarang aktiviti pemotoran lasak dan pengalaman itu disifatkan sebagai pengajaran berguna serta pencetus kebangkitan buat dirinya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram