PENGANALISIS jenayah, Kamal Affandi Hashim, 56, bukan nama asing dalam membicarakan aspek keselamatan negara apabila kerap membuat kemunculan di dada akhbar dan media bagi menganalisa sesuatu kes jenayah.
Kepakarannya dalam soal keselamatan tidak boleh dipertikai dengan khidmatnya sebagai anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama 10 tahun masih menjadi tonik terbaik buat dirinya sehingga ke hari ini.
Mula menyertai PDRM pada 12 Februari 1989 dengan tugas terakhir beliau di Jabatan Siasatan Jenayah, khidmatnya masih diperlukan masyarakat dengan hujahan dan penerangan diberikan sentiasa memenuhi fakta terkini.
BACA LAGI: Remaja perempuan asal Kedah hilang sejak 5 hari, 'trace' iPhone kali terakhir dikesan di Johor Bahru
Mengulas lanjut hal itu, misi dan tujuan utama penglibatannya dalam dunia jenayah sebagai penganalisis menurutnya lebih banyak menyumbang jasa kepada orang ramai.
"Setelah 26 tahun sebagai pengamal, amat jelas apa yang saya lakukan bukanlah untuk kepentingan peribadi.
"Misi saya adalah untuk menyelamatkan sekurang-sekurangnya satu nyawa bila saya bermula pada 1998. Tetapi selepas itu saya menukarnya kepada misi menyelamatkan seberapa banyak nyawa yang saya mampu.
"Sebagai rakyat, inilah tugas kita untuk mengisi kemerdekaan, demi Raja dan Negara," katanya kepada Majoriti.
Fasilitator dan penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim.
Dalam pada itu, beliau turut menghuraikan perbezaan khidmat sebagai polis dan fasilitator yang disifatkan lebih mencabar dan memerlukan keyakinan tinggi untuk berhadapan orang ramai.
"Dulu gerak kerja sebagai operatif di belakang tabir, sekarang secara terang-terangan di hadapan mata awam jadi pasti ada bezanya.
"Tak mudah untuk berucap depan ramai dan masyarakat sentiasa menginginkan jawapan dan solusi daripada saya, berbekalkan pengalaman sedia ada, saya kongsikan dan bantu sehabis baik," katanya.
Turut berkongsi pengalaman menyayat hati ketika mengganggotai PDRM, situasi menyaksikan sendiri seorang bayi mati secara perlahan-lahan di hadapan matanya antara paling diingati hingga ke hari ini.
"Pengalaman menyaksikan sendiri nafas terakhir seorang bayi yang didera di awal pembabitan saya sekitar 1980-an, mangsa meninggal depan mata saya.
"Bermula daripada kakinya, perlahan-lahan kebiruan dan seterusnya muka sampai dia hembuskan nafas terakhir.
"Saya juga pernah dilibas dengan parang dalam kejadian amuk yang berlaku di Shah Alam pada 2012, akibatnya terpaksa melepaskan tembakan dan suspek maut di lokasi kejadian," katanya.
Untuk rekod, Kamal pada April lalu mencuri perhatian peminat filem tanah air apabila membuat kemunculan di pawagam menerusi filem Syerif arahan Syafiq Yusof.
Ibarat sirih pulang ke gagang, penonton rata-ratanya teruja menyaksikan watak Tuan Hafsham yang dilakonkan sehingga membantu filem itu meraih kutipan RM44.5 juta selepas 14 hari tayangannya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram