Sanggup sumbang alat melukis, Rosli jadi 'sifu' bantu kembangkan bakat seni Zarra


  • Massa
  • Ahad, 11 Ogos 2024

Rosli sering meluangkan masa dan mengajar Zarra teknik-teknik lukisan yang betul dan sesuai.

PERJALANAN pelukis cilik, Zarra Maisarrah Mohd Zaki mungkin akan terhenti sekiranya tiada sokongan kuat daripada orang sekeliling tidak kira keluarga mahupun individu luar.

Selain ibu bapa yang menjadi 'orang kuat', kanak-kanak 11 tahun itu juga memulakan langkahnya bersama seorang tenaga pengajar berwawasan tinggi bernama Rosli Mohd Nordin.

Rosli, 47, berasal dari Kampung Gajah, Perak adalah pelukis amatur dan penerbit dokumentari dan mempunyai pengalaman dalam industri seni selama lebih 10 tahun.

BACA LAGI: 'Semoga dia miliki galeri seni sendiri', ibu Zarra tak lokek 'melabur' demi minat mendalam anaknya

BACA LAGI: Mula-mula conteng orang lidi, siapa sangka hasil seni adik Zarra pikat hati tokoh hebat seperti Tun M, bekas KP Kesihatan

6174940779030625759

Rosli Mohd Nordin

Mengakui cabaran dalam menempuhi perjalanan sebagai pelukis, Rosli mengambil peluang untuk membantu Zarra melalui pelbagai cara demi melihat anak kecil itu berjaya.

Melihat pula pada ibu Zarra, Murni Ali yang merupakan rakan baiknya ketika sama-sama bekerja sebagai pengamal media di stesen radio televisyen terkemuka, Rosli tidak teragak-agak memberi sepenuhnya dorongan buat mereka.

Menurut Rosli, Zarra mempunyai kehebatan luar biasa kerana mampu belajar dengan pantas dan sangat teliti dalam setiap seni lukisan yang dihasilkan.

Rosli pada masa sama sanggup menyalurkan segala bantuan malah tidak teragak-agak untuk menjadi sumber rujukan kepada ibu bapa Zarra setiap kali mahu mencari maklumat tentang seni.

"Saya kenal Zarra daripada dia kecil lagi dan memang beri dorongan habis-habisan untuk bantu dia.

"Kalau boleh saya kategorikan, Zarra adalah seorang kanak-kanak yang gifted sebab bukan semua budak boleh teroka dunia seni jika dia tak minat.

"Jadi, saya sebagai individu yang berpengalaman memang akan bantu kebanyakannya daripada segi peralatan melukis seperti canvas, pensil warna, berus, buku dan banyak lagi," katanya kepada Majoriti.

6174940779030625757

Rosli (kiri) bersama Zarra (kanan).

Kongsinya lagi, dia sering memberi tunjuk ajar kepada Zarra tentang cara dan teknik lukisan yang betul terutamanya jika terlibat dalam pertandingan atau bengkel melukis.

Bukan hanya Zarra, Rosli juga membantu ibu bapa pelukis cilik itu mencari peluang atau platform bagi mengembangkan lagi bakat anak kecil itu.

Katanya, Murni dan suami sering merujuknya tentang proses menyertai pertandingan, bengkel, program dan cara memilih alat-alat melukis yang sesuai.

"Ibu bapa Zarra sangat mendorong anaknya, tetapi tidak tahu bagaimana mahu kembangkan dan asah bakat Zarra.

"Jadi, ada masanya saya akan beri nasihat atau cadangan kepada mereka untuk memperkenalkan Zarra dengan jenis lukisan menggunakan minyak dan arkilik," ujarnya.

6174940779030625756

Ibu bapa yang tidak jemu menyokong minat Zarra.

Perbezaan generasi

Rosli turut melihat perbezaan atau jurang generasi selepas melihat kebolehan Zarra menggunakan gajet berteknologi tinggi untuk menghasilkan sesuatu lukisan itu.

Bercerita lanjut, Rosli tidak menafikan bahawa generasi Zarra sangat mahir melukis menggunakan peranti mudah alih atau tablet.

"Perbezaan itu lebih nampak ketara lebih-lebih lagi bila saya pergi ke beberapa sekolah dan melihat penggunaan teknologi tinggi untuk subjek seni.

"Zaman dahulu kami hanya dibekalkan dengan peralatan asas melukis, tetapi sekarang sudah ada studio lukisan, kelengkapan alat melukis baharu dan gajet-gajet lain.

"Bukan setakat itu, akses dan kemudahan kepada generasi sekarang pun lebih mudah tidak seperti saya ketika 1984 yang tiada panduan langsung untuk berkarya," jelasnya.

Best-creative-gadgets-for-artists-and-art-enthusiasts-1200x900

Kanak-kanak generasi kini mahir menggunakan gajet untuk melukis. — Gambar hiasan/Agensi

Megimbau kembali perjalanannya ketika baru berjinak-jinak dalam bidang seni pula, Rosli tidak menafikan bahawa dia terpaksa melakukan inisiatif sendiri tanpa bantuan orang lain.

Apa yang dilakukannya adalah belajar melalui video di media sosial dan mencuba sendiri sebelum wujudnya pelbagai kemudahan terkini.

Rosli bagaimanapun menyatakan harapannya untuk melihat Zarra lebih ke hadapan dan menonjol dalam bidang seni itu meskipun ia mungkin bukan menjadi kerjaya tetap atau karier suatu ketika nanti.

"Saya tidak kisah jika bidang ini tidak berakhir menjadi kerjayanya, tapi yang penting dia sudah tahu hala tujunya dan menimba pengalaman," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram