Bekas komando kongsi cara 'survive' dalam hutan, cuma berbekalkan 2 pek beras


  • 112
  • Khamis, 08 Ogos 2024

Sahudin Mohamed (kiri) merupakan bekas anggota ATM yang pernah bertugas melawan komunis pada era 1970-an.

DI sebalik perjuangan dan tugas getir dipikul barisan pertahanan negara, tiada siapa yang pernah menyangka akan cabaran dihadapi ketika menjalankan operasi di hutan.

Situasi darurat ketika berdepan serangan musuh merupakan perkara paling digeruni dengan ketiadaan bekalan makanan mencukupi, juga boleh mengakibatkan seseorang anggota itu mati kebuluran.

Namun, seorang bekas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mendedahkan kaedah dan tip diguna pakai anggota untuk bertahan dengan sumber makanan yang dibekalkan sepanjang operasi.

BACA LAGI: [VIDEO] Disyaki cuba rentas sempadan, suspek sanggup terjun sungai lepas ketika dipintas bot Marin PDRM

BACA LAGI: Kelengkapan sistem C4i antara bukti PDRM semakin tangkas, bikin penjenayah 'ketar lutut'

Menurut Datuk Sahudin Mohamed, 64, setiap anggota perlu memikul beg seberat 40 kilogram (kg) yang dilengkapi set pakaian, senjata dan keperluan makanan ketika di hutan.

"Kami terpaksa pikul beg 40kg dalam hutan, dalamnya semua ada bekalan makanan, pakaian dan kelengkapan peluru serta senapang sepanjang bertugas di operasi.

"Kebiasaannya kami dibekalkan dua pek beras untuk bertahan sekurang-kurangnya tiga hari, setiap satu pek itu beratnya tak lebih daripada 2kg.

"Barang makanan lain dibekalkan adalah tin sardin, ayam dan daging, gula serta roti untuk kami kekal aktif dan tidak kebuluran," katanya kepada Majoriti.

6168136820689321390

Sahudin Mohamed (depan) ketika di awal pembabitannya dalam ATM.

Dalam pada itu, beliau yang juga merupakan bekas anggota pasukan Angkatan Renjer atau kini dikenali sebagai Rejimen Renjer DiRaja (RRD), turut menjelaskan bahawa setiap makanan dibekalkan merupakan hasil produk tempatan yang dikhaskan untuk anggota ATM.

Katanya, tin sardin dan ayam tersebut jauh berbeza dengan produk yang dijual di pasaran demi menjaga kesihatan tentera.

"Makanan tin sardin dan ayam itu semua berbeza dengan yang dijual di pasaran, tak sedap rasanya sebab ia dikilangkan khas untuk tentera, memang ada cop ATM pada pelekat tin itu.

"Setiap satu pek beras akan dimasak dua kali setiap hari bagi mengelakkan kami daripada kehabisan sumber makanan.

"Kalau habis, kami berdepan risiko besar jika operasi dilanjutkan untuk tempoh masa panjang dan terpaksa menunggu bekalan lain dihantar melalui bantuan helikopter. Boleh bawa makanan banyak tetapi perlu pikul lebih daripada 40kg, sendiri tanggung jika terpaksa bawa beban melampau," katanya.

Berkongsi pengalaman ketika berdepan serangan komunis, beliau menganggap ia sebagai pengalaman yang mustahil untuk dilupakan apabila pasukannya pernah diserang hendap musuh dan mengorbankan seramai tujuh anggotanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram