LAMBAKAN warga asing di Malaysia kian merisaukan dengan kumpulan itu dilihat semakin berani mencabar undang-undang negara khususnya bagi golongan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).
Lebih parah apabila jenayah mahupun kes kemalangan membabitkan pemandu lori asing kerap kali berlaku dan mengorbankan nyawa individu tidak bersalah di lebuh raya.
Seolah-olah tiada tindakan diambil pihak penguat kuasa, masyarakat mendakwa individu warga asing kini semakin mendominasi pekerjaan sebagai pemandu kenderaan perdagangan.
BACA LAGI: KP Laut sudah diarah bercuti — Menteri Pengangkutan
BACA LAGI: 'Tiada istilah penagih kasual', MOT perketat undang-undang hukum pemandu positif dadah
Mengulas lanjut berhubung hal itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerusi Kementerian Pengangkutan mendedahkan bahawa pihaknya kini sedang giat melaksanakan operasi secara risikan untuk memberkas warga asing yang bekerja sebagai pemandu.
Menterinya, Anthony Loke Siew Fook menjelaskan, kementerian sentiasa memantau setiap pergerakan dan kegiatan kumpulan PATI termasuklah syarikat pengendali yang memberikan pekerjaan kepada mereka.
Loke (tengah) menjelaskan Kementerian Pengangkutan sentiasa memantau kegiatan pemandu warga asing.
"Pemandu warga asing tak terlepas, kita ada jalankan operasi terhadap mereka secara tersembunyi, baru-baru ini JPJ telah menyita sebanyak 73 buah kenderaan dibawa pemandu asing.
"Kita tak menguar-uarkan operasi ini kepada umum, ia lebih bersifat secara risikan tetapi tidak bermakna MOT dan JPJ hanya berdiam diri dan tak peka dengan isu berbangkit.
"Kebanyakan kenderaan yang disita adalah kereta dan motosikal, jenayah membabitkan pemandu bas dan treler setakat ini lebih banyak melibatkan warga tempatan, namun pantauan tetap dilakukan terhadap individu asing," katanya kepada Majoriti.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa agar syarikat pengendali pengangkutan menjalankan ujian saringan secara berkala terhadap pemandu mereka.
Jelasnya, langkah itu perlu diselaraskan di setiap pengendali bas dan lori khususnya bagi mengelakkan sebarang jenayah dadah berlaku yang boleh menjerumus ke arah kemalangan lebuh raya.
"Setiap tiga bulan sekali, syarikat pengendali perlu sekurang-kurangnya menjalankan pemeriksaan air kencing untuk mengenal pasti pekerja yang mengambil bahan terlarang.
"Jenayah dan kemalangan lebuh raya boleh ditangani melalui undang-undang dan kawalan yang lebih ketat terhadap pemandu," ujarnya.
Untuk rekod, sebuah lori dan 15 buah motosikal yang digunakan warga asing disita manakala 117 notis saman dikeluarkan dalam dua operasi berasingan dijalankan JPJ Pulau Pinang di Seberang Perai, Pulau Pinang pada Mei lalu.
Kesemua warga asing terbabit ditahan menunggang motosikal tanpa memiliki lesen memandu dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh.
Malah, sebuah lori dipandu warga asing turut disita selepas mempamerkan aksi tunjuk lagak dan mempertikai penguatkuasaan JPJ menerusi Ops Khas Pemandu Warga Asing (PeWA) yang dijalankan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram