KPDN tahan 2 lelaki warga emas, ubah suai tangki kereta seleweng petrol di Tumpat


  • 112
  • Rabu, 07 Ogos 2024

Ruang tangki kereta yang diubah suai suspek cuba menyeleweng petrol di Tumpat, Kelantan. — Ihsan KPDN

CUBAAN menyeludup petrol oleh dua lelaki warga emas berjaya dikesan selepas kedua-dua suspek ditahan di Kampung Talak, Tumpat, Kelantan pada Selasa.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan menahan suspek berusia 50-an dan 70-an itu kira-kira pukul 9.40 pagi selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Nissan Grand Livina dipandu dikesan dalam keadaan mencurigakan.

Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata, bertindak atas maklumat risikan, sepasukan anggota bersama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga telah mengesan kereta suspek.

BACA LAGI: KPDN rangka gerakan awam perangi penyelewengan barang kawalan bersubsidi termasuk diesel, RON95

BACA LAGI: Dapat bantuan 'fleet card' tapi masih naik harga, KPDN keluar notis terhadap 10 syarikat

"Pada masa sama, kita turut mengesan MPV tersebut telah mengubah suai tangki dipercayai untuk tujuan penyeludupan," katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa.

Katanya, sebaik sahaja ditahan, anggota bertugas membuat pemeriksaan dan menjumpai 175 liter minyak petrol yang dianggarkan bernilai sebanyak RM358.75.

Ujarnya, kedua-dua suspek ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

"Operasi ini merupakan langkah tegas pihak berkuasa untuk menangani isu penyeludupan barang kawalan bersubsidi di kawasan sempadan, serta memberi kesan terhadap aktiviti haram yang merugikan ekonomi negara.

"Kerjasama bersepadu ini juga menunjukkan komitmen pihak berkuasa dalam memastikan ketenteraman awam di kawasan sempadan terjaga dengan baik dan membanteras aktiviti penyeludupan dan penyelewengan barang kawalan bersubsidi secara berkesan," katanya.

Menurut Azman, KPDN Kelantan sentiasa melipat gandakan usaha membanteras ketirisan barang kawalan di sempadan negara ini bersama dengan agensi berkaitan sempadan dari masa ke semasa.

"KPDN Kelantan memberikan amaran keras kepada mana-mana individu yang terlibat dengan aktiviti penyelewengan barang kawalan supaya berhenti segera kerana pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu dan tindakan tegas akan diambil selanjutnya," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram