IBU kepada Albertine Leo Jia Hui yang berusia enam tahun mengucapkan terima kasih kepada orang awam dan pihak polis atas bantuan mereka membawa pulang anak perempuannya dengan selamat.
Dalam satu hantaran di Facebook pada Jumaat (26 Julai), Leo Qieo Xin, 37, berkata, dia kini bersedia untuk kembali bekerja, selepas mengetahui anak perempuannya selamat.
BACA LAGI: Sumbangan syarikat alkohol untuk konsert amal sekolah — Zahid Hamidi
BACA LAGI: Kabinet pertimbang amalan lama sekolah vernakular terima sumbangan, anjur program
“Terima kasih, netizen dan rakan-rakan, kerana berkongsi tentang kehilangan anak saya. Saya sangat bersyukur.
"Saya kini boleh kembali bekerja dengan tenang kerana anak saya sudah kembali dalam pelukan saya. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak polis kerana membawa pulang anak saya," katanya dalam hantaran tersebut dalam Bahasa Mandarin.
Sehingga lewat petang, hantaran di bawah nama "Jesminleo" itu telah menerima lebih daripada 300 reaksi.
Sebelum ini, Albertine dilaporkan hilang sekitar pukul 8.30 malam Sabtu (20 Julai) oleh ibu bapanya, yang berniaga sebuah gerai di Festival Bon Odori di pusat membeli-belah Iskandar Puteri, Johor
Kanak-kanak perempuan itu ditemui 370 kilometer (km) di Batang Kali, Selangor, pada awal pagi Selasa (23 Julai).
Empat suspek yang didakwa terlibat dalam penculikan Albertine telah dibebaskan dengan jaminan polis.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan mengesahkan bahawa perintah tahanan reman terhadap empat suspek tersebut tidak dilanjutkan selepas ia tamat hari ini (26 Julai).
Tempoh reman suspek kelima, seorang lelaki berusia 31 tahun yang ditemui bersama mangsa di Batang Kali, akan berakhir pada Selasa. — The Star/VENESA DEVI
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram