Dapat bantuan 'fleet card' tapi masih naik harga, KPDN keluar notis terhadap 10 syarikat


  • Primer
  • Jumaat, 14 Jun 2024

Armizan berkata, siasatan awal menunjukkan empat daripada syarikat itu diberikan notis kerana menaikkan harga barang dan perkhidmatan meskipun mereka menerima bantuan fleet card. — Gambar hiasan

SEBANYAK 10 syarikat diberi notis bertulis oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kerana menaikkan harga barang dan perkhidmatan sejak skim penyasaran subsidi diesel berkuat kuasa pada 10 Jun.

Notis itu dikeluarkan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011).

"Syarikat yang dikenal pasti akan diminta menjelaskan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan mereka," kata Menteri Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali dalam satu kenyataan pada Jumaat.

BACA LAGI: PKR ada kelebihan jika ikut trend, PAS perlu elemen lain pertahan Sungai Bakap

BACA LAGI: Nasib 6 MP BERSATU: Tak mustahil diterima kembali jadi calon, singkap sejarah Umno terima semula ahli parti

Beliau berkata, 10 syarikat itu terdiri daripada tiga syarikat pengangkutan, tiga syarikat pembinaan, dua syarikat minuman dan dua syarikat penyewaan jentera.

"Dua daripada syarikat itu telah dipanggil pada Khamis manakala yang lain akan mengikut jadual," katanya.

Armizan berkata, siasatan awal menunjukkan empat daripada syarikat itu diberikan notis kerana menaikkan harga barang dan perkhidmatan meskipun mereka menerima bantuan fleet card.

“Enam lagi mempunyai kenderaan yang tidak didaftarkan di bawah Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0.

“Setiap syarikat akan dipanggil untuk memberikan maklumat dan dokumentasi terperinci mengenai perkhidmatan dan penjualan barangan mereka untuk analisis pencatutan.

"Penalti boleh dikenakan kepada mereka yang gagal hadir di bawah Seksyen 57 Akta," kata Armizan.

447895301_1074107187646334_4010662384378450289_n

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali. — Facebook

Beliau turut memaklumkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup melancarkan 'Ops Kesan 2.0' pada 8 Jun lalu untuk memastikan semua kenaikan harga dan caj dalam sektor perkhidmatan dikenakan kepada kenderaan layak dan sah di bawah SKDS 2.0.

“Kementerian memberi amaran keras kepada semua pihak agar tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barangan dan perkhidmatan berunsur pencatutan berikutan pelaksanaan SKDS.

“Kesalahan sedemikian di bawah Akta 723 boleh membawa hukuman denda sehingga RM500,000 bagi perbadanan dan syarikat, dan RM100,000 bagi individu, serta hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” tambah Armizan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram