Miliki bahan lucah, suspek lelaki culik Albertine Leo direman 6 hari lagi


Albertine yang sebelum ini dilaporkan hilang di Johor akhirnya selamat ditemui semula sekitar Selangor selepas kira-kira seminggu.

SUSPEK kes culik kanak-kanak perempuan di Iskandar Puteri, Johor Bahru direman enam hari bermula Isnin bagi membantu siasatan berhubung penemuan pelbagai alat mainan seks, bahan pornografi dewasa dan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak.

Perintah reman terhadap suspek lelaki berusia 31 tahun bermula hari ini sehingga Sabtu dikeluarkan Majistret Azureen Sahira Sauffee Afandi selepas membenarkan permohonan polis Mahkamah Majistret Kulai, Johor.

Tahanan reman itu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 kerana mengakses atau memiliki bahan penganiayaan seksual kanak-kanak dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan kerana memiliki bahan lucah.

BACA LAGI : Polis sahkan Albertine tidak diapa-apakan suspek sepanjang tempoh diculik

BACA LAGI : Selamatkan Albertine, MB jumpa pucuk pimpinan polis Johor

Pada Ahad, Majoriti melaporkan membuat tangkapan semula ke atas seorang lelaki warga tempatan yang sebelum ini ditangkap berhubung kejadian culik kanak-kanak perempuan berusia enam tahun, Albertine Leo Jia Hui pada 20 Julai lalu.

2839310

Albertine (baju merah jambu) kini berada di bawah pengawasan keluarga.

Ketua Polis Johor, Asisten Komisioner M Kumar menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad berkata, tangkapan dibuat bagi membantu siasatan ekoran penemuan pelbagai alat mainan seks, bahan pornografi dewasa dan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak di kediaman suspek di Kulai, Johor.

Siasatan dijalankan di bawah peruntukan kesalahan-kesalahan di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 kerana mengakses atau memiliki bahan penganiayaan seksual kanak-kanak. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram