CUEPACS gesa KKM atasi isu kekurangan petugas, terpaksa dikerah kerja lebih masa


  • Massa
  • Isnin, 05 Ogos 2024

CUEPACS menggesa tindakan segera diambil KKM supaya petugas kesihatan tidak dikerah bekerja lebih masa. — Gambar hiasan

KONGRES Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) menyelesaikan masalah kekurangan petugas dengan segera kerana ia boleh menjejaskan kelancaran penyampaian perkhidmatan.

Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat berkata, perkara itu perlu diatasi supaya petugas kesihatan tidak dikerah bekerja lebih masa demi menampung kekurangan yang dialami fasiliti tertentu.

"Walaupun Jabatan Kesihatan Negeri memberi jaminan untuk mempertimbangkan sebarang permohonan mendapatkan cuti bersalin tambahan secara bersendiri, CUEPACS bimbang wujudnya elemen pemaksaan terhadap pegawai awam terbabit. Ini kerana kelulusan tersebut adalah tertakluk kepada kepentingan perkhidmatan dan pertimbangan ketua jabatan yang bersifat subjektif," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

BACA LAGI: Tiada kenaikan gaji untuk penjawat awam yang malas, ada isu disiplin — PM Anwar

BACA LAGI: Ketua jabatan jangan pilih bulu elak penjawat awam bermasalah terima kenaikan gaji — Cuepacs

Terdahulu, beliau meluahkan kekesalan mengenai laporan berlakunya kekurangan petugas kesihatan di Selangor hingga mengakibatkan cuti bersalin pegawai perubatan di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Hulu Langat terpaksa dihadkan kepada 60 hari.

Jelasnya, perkara berkenaan tidak seharusnya berlaku sekiranya masalah kekurangan petugas diberi perhatian yang sewajarnya daripada awal.

"Daripada segi undang-undang, perkara itu memang tidak menyalahi peraturan sedia ada tetapi daripada sudut kebajikan kita sebenarnya telah menidakkan hak pekerja tersebut," katanya lagi.

Tegas beliau, isu kebajikan petugas kesihatan tidak sepatutnya diabaikan demi memastikan perkhidmatan kesihatan berjalan seperti biasa.

Untuk rekod, PKD Hulu Langat menetapkan cuti bersalin selama 60 hari bagi pegawai perubatan yang bertugas di Klinik Kesihatan (KK) daerah itu ekoran isu kekurangan pegawai perubatan sejak 27 Jun lepas. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram