PENJAWAT awam yang malas dan ada masalah disiplin akan dikecualikan daripada kenaikan gaji secara automatik, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata, sistem gaji pada masa ini tidak adil kepada penjawat awam yang rajin memandangkan kenaikan turut diperolehi penjawat awam yang bermasalah.
Justeru, beliau berkata, kerajaan akan memperkenalkan kaedah agar penjawat awam bermasalah tidak mendapat kenaikan gaji secara automatik di masa akan datang.
BACA LAGI: TMJ, KPG luah rasa simpati buat Faisal, Akhyar
BACA LAGI: Faisal Halim kena simbah asid di pusat beli belah

Anwar berkata, walaupun kerajaan setuju untuk memberikan kenaikan gaji paling tinggi dalam sejarah kepada penjawat awam, ia perlu selari dengan peningkatan kecekapan dalam perkhidmatan.
"Sekarang kenaikan gaji ikut tahun. Kadang-kadang orang itu lembab bekerja, tak hadir kerja dan ada masalah disiplin tapi tetap dinaikkan gaji secara automatik.
"Jadi kita nak ingatkan bahawa kenaikan tidak automatik lagi.
"Mungkin kenaikan automatik buat 95 peratus bagi penjawat awam yang berkhidmat dengan baik, tetapi empat, lima peratus yang lembab dan ada masalah, kita akan perkenalkan kaedah agar mereka dinafikan kenaikan itu.
"Tak adil orang yang kerja bertungkus-lumus dapat kenaikan, yang malas dan lembab pun dapat kenaikan automatik. Jadi mekanisme itu harus diberi pertimbangan," katanya ketika berucap di Program Madani Rakyat (Zon Utara) di Pulau Pinang pada Ahad.
Tambahnya lagi, walaupun kerajaan setuju untuk memberikan kenaikan gaji paling tinggi dalam sejarah kepada penjawat awam, ia perlu selari dengan peningkatan kecekapan dalam perkhidmatan.
"Tak benar bila orang kata kita naikkan gaji dengan kekalkan kaedah yang ada.
"Kita naikkan gaji dengan reform perkhidmatan awam dari segi tahap kecekapan, keupayaan dan prestasi," katanya lagi.
Sebelum ini, Anwar mengumumkan gaji penjawat awam akan dinaikkan lebih 13 peratus bermula Disember tahun ini.
Kenaikan di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang sedang diperincikan itu melibatkan peruntukan lebih RM10 bilion tahun depan dan tertinggi dalam sejarah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
