'No win or lose', semua pihak ada peluang tuntut keadilan — Peguam


Kerjaya sebagai seorang peguam sering disalah erti segelintir masyarakat. — Gambar hiasan

KERJAYA sebagai seorang peguam sememangnya sentiasa berdepan cabaran dengan harapan diletakkan padanya menggunung untuk meraih kemenangan di mahkamah.

Keputusan positif sentiasa dinanti-nantikan dari mahkamah selepas segala fakta dan bukti dikemukakan, diperjuangkan di hadapan hakim bersama anak guam.

Namun, tanggapan segelintir masyarakat yang melabel kerjaya peguam sebagai tugas mudah semakin berleluasa dek kerana dakwaan bayaran tinggi yang diraih golongan itu.

BACA LAGI: Nyawa kadet tentera laut, Soosaimanicckam boleh diselamatkan jika diberikan rawatan awal — Pakar patologi

BACA LAGI: Kenapa sekarang, mana Suhakam ketika anak saya dibunuh dengan kejam 7 tahun lalu? — Ayah Zulfarhan

Seolah-olah satu jaminan untuk menang setiap kes di mahkamah, pandangan itu disangkal seorang peguam jenayah dan sivil, Ravin Jay, 38, yang menyifatkan setiap prosiding mahkamah bergantung kepada fakta diberikan.

"Tiada kalah atau menang, semua pihak mampu meraih keadilan jika fakta diberikan tepat dan mencukupi.

"Segalanya bergantung kepada fakta kes, tetapi bagi individu yang tanpa bukti sokongan kukuh, peluang masih terbuka untuk kemenangan berpihak padanya.

"Semua orang wajar diberikan peluang sekurang-kurangnya untuk mencuba menuntut keadilan, saya sebagai peguam sentiasa cuba terbaik untuk membawa harapan pada anak guam saya," katanya kepada Majoriti.

6154555983775515022

Ravin Jay (kiri) berpengalaman selama 13 tahun sebagai peguam jenayah dan sivil.

Dalam pada itu, Ravin sentiasa berpesan kepada anak guamnya, bahawa tiada kemenangan dijanjikan tetapi peluang masih terbuka untuk setiap situasi dihadapi.

"Sekurang-kurangnya saya yakin dan mampu berikan peluang pada anak guam saya, tak menang tak apa janji kita dah cuba yang terbaik demi maruah mereka di hadapan hakim dan pesalah," ujarnya.

Berkongsi pengalaman ketika mengendalikan prosiding mahkamah, berkaitan kes tembakan di premis bank Subang Jaya pada 2014, Ravin menganggap kes itu antara yang paling sukar dihadapi.

Jelasnya, keputusan mahkamah berpihak kepada anak guamnya namun, desakan segelintir pihak dan masyarakat ketika itu menyukarkan proses prosiding ekoran terlampau banyak berita palsu tersebar.

Dalam perkembangan terbaharu, Ravin baru saja selesai mengendalikan prosiding kes dadah membabitkan seorang lelaki berusia 70 tahun yang didakwa mengambil dadah berbahaya Morphine pada 1 Ogos lalu.

Hakim Izralizam Sanusi menjatuhkan hukuman itu terhadap Kartajaya Aziz, 60, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 39C (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan tidak lebih tiga sebatan jika sabit kesalahan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram