Ketua jabatan jangan pilih bulu elak penjawat awam bermasalah terima kenaikan gaji — Cuepacs


  • Massa
  • Isnin, 06 Mei 2024

Cuepacs menggesa agar ketua jabatan di agensi masing-masing membuat penilaian terhadap gaji penjawat awam supaya lebih telus dan adil.

KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyambut baik dan menyokong sepenuhnya pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengecualikan kenaikan gaji secara automatik penjawat awam yang malas dan ada masalah disiplin.

Setiausaha Agung Cuepacs, Abdul Rahman Mohd Nordin berkata, ia adalah langkah yang wajar bagi memastikan sektor awam hanya diisi oleh penjawat berintegriti tinggi.

"Dalam erti kata lain, kita tak mahu kakitangan yang bermasalah ini akan terus menconteng arang dan memburukkan nama penjawat awam yang lain.

BACA LAGI: Tiada kenaikan gaji untuk penjawat awam yang malas, ada isu disiplin — PM Anwar

435006901_743409167982961_8200816776529280651_n

Setiausaha Agung Cuepacs, Abdul Rahman Mohd Nordin

"Walaupun mereka yang 'bermasalah' ini dalam lingkungan yang tidak ramai tetapi ia boleh memberi kesan negatif dan memberi nama buruk kepada kerajaan.

"Selain itu, ia juga boleh dijadikan pengajaran kepada kakitangan yang lain untuk menjadi lebih berdisiplin dan meningkatkan integriti mereka, " katanya ketika dihubungi Majoriti.

Begitu pun, Abdul Rahman menggesa agar ketua jabatan di agensi masing-masing membuat penilaian secara telus dan adil terhadap kakitangan masing-masing supaya mereka mendapat gaji setimpalnya mengikut kerja dan usaha masing-masing.

BACA LAGI: Politik pejabat, jadi 'kambing hitam ' antara sebab Gen-Z, milenial tak minat jawatan pengurus — Kajian

"Apa yang menjadi kebimbangan kami ialah takut ada segelintir ketua jabatan yang menyalahgunakan kuasa mereka dan mengugut kakitangan khususnya di peringkat rendah.

"Jadi mereka harus berlaku adil dan kita memandang serius terhadap isu ini," tegas beliau.

Terdahulu, Majoriti melaporkan penjawat awam yang malas dan ada masalah disiplin akan dikecualikan daripada kenaikan gaji secara automatik.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, sistem gaji pada masa ini tidak adil kepada penjawat awam yang rajin memandangkan kenaikan turut diperoleh penjawat awam yang bermasalah.

Justeru, beliau berkata, kerajaan akan memperkenalkan kaedah agar penjawat awam bermasalah tidak mendapat kenaikan gaji secara automatik di masa akan datang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram