Sampai marah bola tak masuk lubang, guru NASOM guna 'trick' pancing anak autistik main golf


  • Massa
  • Ahad, 04 Ogos 2024

Muhd Saifulnizam (baju biru, kiri) ketika melatih pelajar NASOM bermain golf di KGNS.

PELBAGAI aktiviti kemahiran motor diperlukan dalam proses perkembangan sosial khususnya buat kanak-kanak autistik.

Usaha Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) berkolaborasi dengan Perbadanan Padang Golf Subang (PPGS) melaksanakan program Klinik Golf Fore Autism secara tidak langsung membantu meningkatkan kemahiran sosial golongan itu.

Namun, tidak dilupakan bahawa setiap kanak-kanak autistik mempunyai tingkah laku berbeza yang sekali gus membawa cabaran kepada tenaga pengajar.

BACA LAGI: [VIDEO] Pelajar sanggup hari-hari berlari 5km ke sekolah demi jadi tentera

BACA LAGI: Bukan 'High Council', kelab BADAR mampu tangani budaya buli di IPT

6152048861040984085

Pelajar NASOM ketika melakukan aktiviti golf di KGNS.

Menurut seorang guru NASOM Teluk Pulai, Klang, Selangor, Muhd Saifulnizam Hassan, 35, pihaknya perlu sentiasa bersabar sepanjang mengendalikan pelajar-pelajar autistik ketika melakukan aktiviti bersama.

Katanya, dia dan guru lain terpaksa menggunakan beberapa cara efektif untuk mengelakkan pelajar-pelajar itu berasa tidak selesa atau tantrum.

"Memang ada pelajar yang tak mahu main, duduk sahaja. Kalau mengamuk teruk itu tiada, cuma ada seorang tu kalau bola tak masuk lubang pun dia marah macam kecewa.

"Kalau berlaku situasi itu, saya dan guru lain perlu tenangkan mereka, bagi kata-kata pujian dan semangat kalau nampak pelajar tak semangat.

"Kami pun kena sediakan hadiah seperti makanan ringan jika mereka berjaya main golf sehingga tamat," katanya kepada Majoriti.

6152048861040984084

Aktiviti golf mampu meningkatkan daya fokus pelajar autistik.

Tambahnya, sukan golf dipilih sebagai antara aktiviti pelajar NASOM adalah bagi memantapkan lagi fokus, momentum dan keyakinan diri mereka lebih-lebih lagi apabila bergaul bersama masyarakat luar.

Selepas tiga bulan program itu berjalan dari Mei lalu, dia melihat perkembangan positif yang sangat ketara pada setiap pelajar.

Bukan itu sahaja, aktiviti golf itu dapat membuka peluang kepada mereka untuk melihat bakat terpendam yang berkemungkinan tidak dapat diserlahkan di tempat lain.

"Sebelum ini, NASOM memang ada buat aktiviti sukan lain dan golf adalah kali pertama dan ia sangat menunjukkan hasil positif," katanya.

6152048861040984087

Tenaga pengajar dan jurulatih berganding bahu mengajar pelajar NASOM bermain golf.

Sementara itu, Naib Pengerusi Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM), Mohd Nazrul Mohd Amin tidak menolak bahawa aktiviti sukan lain seperti larian dapat membantu pelajar menyesuaikan diri dengan persekitaran luar.

Mohd Nazrul berkata, NASOM juga dalam usaha mempelbagaikan program sukan yang melibatkan orang awam bersama pelajarnya kelak.

"Kami juga dalam perancangan mahu buat satu karnival sukan libatkan anak-anak autistik mungkin akhir 2024 ini.

"Kami fikir, mereka pun nak buat aktiviti macam manusia normal juga tak duduk di satu tempat sahaja," katanya kepada Majoriti.

Dalam pada itu, program aktiviti golf kerjasama PPGS dan NASOM berlangsung sehingga September 2024 di Kelab Golf Negara Subang (KGNS), Selangor. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram